Harian Metro

Taj nak saman Farid Kamil

- Najiy Jefri najiy.jefri@hmetro.com.my

 Mungkin akan ambil tindakan undang-undang lepas siasatan polis selesai

Bekas anggota Innuendo, Ahmad Tajuddin Mohamed Tahir atau Taj mungkin mengambil tindakan undang-undang terhadap pelakon, Datuk Farid Kamil yang mendakwa ada pihak memasukkan dadah dalam minuman tanpa pengetahua­nnya.

Peguamnya, Muhamad Akmal Arif Shamsul Kahar berkata, Taj hadir di Balai Polis Mutiara Damansara, di sini, semalam untuk memberi keterangan berhubung dakwaan Farid itu.

Seorang lagi anak guamnya, Ahmad Fairuz Ahmad Rusli atau Osh yang juga anggota kumpulan nasyid Firdaus sudah memberi keterangan, minggu lalu.

“Taj baru dimaklumka­n mengenai dakwaan Farid itu bulan lalu. Kami akan memberi kerjasama penuh kepada pihak polis. Keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Farid juga akan dibuat selepas ini berdasarka­n keputusan siasatan polis,” katanya.

Ditanya mengenai keadaan Taj sama ada dakwaan Farid menjejaska­n kehidupann­ya, Akmal berkata, dia yakin Taj berada dalam keadaan baik.

Katanya, kedua- dua anak guamnya akan memberi kenyataan dalam satu sidang media yang akan diadakan dalam waktu terdekat.

Sementara itu, Taj enggan memberi komen berhubung perkara itu dan dilihat terus memasuki balai polis.

Sebelum ini, Farid membuat laporan polis mendakwa tiga rakan artis memasukkan bahan terlarang ke dalam minumannya sehingga mendorong dia bertindak ganas di sebuah balai polis, bulan lalu.

Dia turut mendakwa diberikan rokok yang disapu dengan minyak dipercayai daripada bahan dadah.

Pendedahan itu membawa kepada penahanan Sofi Jikan, 48, yang didapati positif dadah ketika memberi keterangan berhubung kes itu di Balai Polis Mutiara Damansara, 6 Febuari lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia