Harian Metro

Penunggang maut dilanggar kereta

-

Gombak: Seorang penunggang maut manakala dua parah dalam kemalangan membabitka­n motosikal Kawasaki Ninja dan kereta Proton Saga di Kilometer 445.8 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menghala utara di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.45 malam itu, mangsa, Sheikh Kharleez Bamadhaj Jaffar, 26, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala, badan dan kaki.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal Kawasaki Ninja bersendiri­an dalam perjalanan dari Sungai Buloh ke Rawang.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, motosikaln­ya dipercayai hilang kawalan dan terbabas lalu terjatuh di atas jalan sebelum dilanggar Proton Saga dinaiki dua lelaki berusia 26 tahun.

“Pemandu kereta terbabit yang berada di lorong kedua tidak sempat memberhent­ikan kenderaan dan hilang kawalan selepas melanggar mangsa lalu terbabas ke pembahagi jalan sebelum berpusing masuk ke lorong ketiga,” katanya.

Ali berkata, akibat perlanggar­an itu pemandu dan penumpang kereta berkenaan parah.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat. Dua mangsa yang parah turut dibawa ke hospital sama untuk rawatan,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu diminta ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia