Harian Metro

Sasar kedudukan tiga terbaik di Sukan Asia

- Jumiati Rosly jumiati@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Dengan sokongan penuh Konfederas­i Hoki Malaysia (MHC), skuad hoki wanita negara disasarkan untuk menduduki tiga tempat terbaik pada Sukan Asia Indonesia, Ogos depan selain enam terbaik pada Sukan Komanwel Gold Coast, April ini.

Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, badan induk itu berasakan Malaysian Tigress mampu bertindak lebih baik berbanding ranking semasa skuad negara ketika ini di tangga kelima Asia dan ranking lapan dalam kalangan negara Komanwel.

“Kami rasakan dengan sokongan dan bantuan yang diberikan MHC kepada mereka (skuad wanita) dan juga duit yang kami keluarkan, kami rasa mereka boleh melakukan lebih baik,” katanya selepas mesyuarat jawatankua­sa kerja MHC bersama Majlis Sukan Negara (MSN) semalam.

Pencapaian terbaik skuad wanita negara pada Sukan Asia adalah memenangi pingat gangsa pada Sukan Asia 1982 di New Delhi sementara kejayaan terbaik pada Sukan Komanwel adalah menduduki tangga keenam pada 2006 di Melbourne.

Bagi Sukan Komanwel Gold Coast dari 4 hingga 15 April depan, skuad negara diletakkan dalam Kumpulan A bersama pasukan nombor dua dunia England, India (10), Afrika Selatan (14) dan Wales (26).

Mesyuarat semalam juga memutuskan untuk tidak mewujudkan lagi skuad pembanguna­n kebangsaan dan hanya memberi perhatian kepada skuad Program 2020 lelaki dan wanita.

“Dulu kami ada skuad pembanguna­n untuk lelaki dan wanita namun kini kami mengubah struktur kerana mahu fokus kelayakan ke Piala Dunia 2020,” katanya.

Subahan berkata, mesyuarat memutuskan untuk melantik Nor Saiful Zaini Nasiruddin sebagai ketua jurulatih skuad lelaki Program 2020 sementara Yahya Atan bagi skuad wanita.

Kami rasa mereka boleh melakukan lebih baik” Subahan Kamal

 ??  ?? MALAYSIAN Tigress ketika menjalani latihan.
MALAYSIAN Tigress ketika menjalani latihan.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia