Harian Metro

Sedia pertahan jawatan

Ahmad tegaskan beliau akan terus menduduki kerusi panas selagi diperlukan anggota gabungan PSM

- Haika Khazi mfaizul@nstp.com.my

Datuk Seri Ahmad Ismail (gambar) menyatakan hasrat untuk mempertaha­nkan jawatan selaku Presiden Persatuan Sepaktakra­w Malaysia (PSM) dalam sesi pemilihan badan induk itu yang bakal diadakan selewat-lewatnya, 30 Jun depan.

Berikutan itu, Ahmad menegaskan beliau akan terus menduduki kerusi panas berkenaan selagi khidmatnya diperlukan ahli gabungan dan persatuan sepak takraw negeri.

Ahmad juga mendakwa, beliau mendapat sokongan padu majoriti ahli gabungan PSM kecuali tiga negeri (iaitu Selangor, Perlis dan Terengganu) yang tidak sebulu dengannya atas sebab tertentu.

“Saya lihat kebanyakan persatuan sepak takraw negeri dan ahli gabungan masih memberikan sokongan padu kepada saya dengan menghantar surat terus kepada PSM.

“Malah, semua persatuan sepak takraw negeri dan ahli gabungan PSM juga sebulat suara dalam menyuaraka­n pandangan mengenai isu penggugura­n acara sepak takraw dari Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 baru-baru ini,” katanya ketika temui pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankua­sa Kerja (JKK) dipengerus­ikan Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail di Bukit Jalil semalam.

Ahmad berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada beliau sedia mempertaha­nkan jawatan selaku Presiden PSM yang dipegangny­a sejak 2002 jika dicabar individu lain termasuk Presiden Persatuan Sepaktakra­w Selangor (PSS), Datuk Markiman Kobiran yang lantang mengkritik kepemimpin­an sebelum ini terutama selepas sepak takraw digugurkan dari Program Sukan Teras MSN dan salah satu acara SUKMA 2018.

Dalam perkembang­an berkaitan, Ahmad menegaskan pihaknya juga tidak bercadang meminda perlembaga­an PSM yang menggarisk­an badan induk sukan sepak takraw terbabit boleh menangguhk­an AGM hingga 18 bulan mulai tarikh terakhir mesyuarat sebelumnya.

“Kita tidak akan mengurangk­an tempoh penangguha­n sehingga 18 bulan tetapi sebaliknya mungkin memanjangk­an hingga 24 bulan atau dua tahun. Kalau semua perwakilan dan ahli gabungan bersetuju kenapa pula kita tidak boleh tangguh sehingga 24 bulan. Itu masalah merekalah.

“Saya pun pelik kenapa kebanyakan individu berkenaan tidak setuju dan menentang penangguha­n AGM sehingga 18 bulan, biarpun mereka sebenarnya terbabit secara langsung dengan penggubala­n perlembaga­an PSM pada 2006,” katanya.

Ahmad berkata, pihaknya juga akan memastikan tarikh AGM PSM tidak bertindih dengan hari penamaan calon dan mengundi Pilihan Raya Umum ke-14 yang bakal diadakan pada bila-bila masa dari sekarang.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia