Harian Metro

Akademi Tahfiz Mandarin lahir masyarakat harmoni

-

Kuala Lumpur: Toleransi masyarakat Tionghoa penduduk majoriti di Pulau Ketam, Pelabuhan Klang dekat sini, yang menerima baik kewujudan Akademi Tahfiz Mandarin wajar menjadi contoh di seluruh negara dalam konsep keharmonia­n antara kaum dan agama.

Pandangan itu disuarakan pakar sejarah Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim apabila turut menganggap sikap saling memahami masyarakat setempat dan pengusaha serta pelajar tahfiz mencapai tahap tinggi walaupun antara kaum dan agama berbeza.

Beliau berkata, apabila sesuatu kaum majoriti berasa selesa dengan kaum minoriti di sesuatu tempat itu bermakna penyesuaia­n berlaku dengan baik.

“Dalam konteks Pulau Ketam bermajorit­i dihuni masyarakat Tionghoa itu saya dapat melihat orang Melayu berada di tahfiz itu yang segera menyesuaik­an diri dengan keadaan setempat.

“Itu sebabnya kaum Tionghoa tempatan tiada masalah memberikan keselesaan kepada orang Melayu di tahfiz berkenaan,” katanya.

Sejarawan berusia 81 tahun dan antara yang terbabit dalam merangka Rukunegara itu berkata, pada amalan biasa kerukunan kaum biasanya tidak akan menimbulka­n masalah sekiranya tiada yang menghasut.

Mengambil contoh, katanya, pergaduhan kaum sangat serius yang berlaku selepas Perang Dunia Kedua adalah disebabkan hasutan komunis.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ikatan Ukhuwah Saudara Baru Muhammad Ridzuan Lau Abdullah, 40, menyambut baik kewujudan Akademi Tahfiz Mandarin khususnya sebagai rujukan kelak untuk saudara baru kaum Tionghoa.

“Ramai saudara baru yang kurang kemampuan bahasa Melayu dan lebih selesa dengan Mandarin. Lepasan akademi itu kelak boleh menampung keperluan saudara baru untuk lebih mendalami Islam.

“Malah diharapkan nanti ramai saudara baru dalam kalangan kami boleh menguasai al-Quran dengan bahasa ibunda.

“Selain itu, bagi pandangan saya ia bukan saja memberi manfaat untuk mualaf malah baik juga untuk sesiapa yang ingin belajar bahasa Mandarin,” katanya.

 ??  ?? LAPORAN Harian Metro, semalam.
LAPORAN Harian Metro, semalam.
 ??  ?? DR Khoo
DR Khoo

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia