Harian Metro

Makmum mesti di belakang imam

-

1. Makmum yang berdiri setentang dengan imam dikira makruh. Adakah perbuatan seperti itu dikira luput fadilat jemaahnya?

Sekiranya memang tidak langsung ruang untuk ke belakang daripada imam, apakah hukumnya?

Makmum yang sengaja berdiri setentang dengan imam sedangkan di belakangny­a masih ada ruang untuk dia berdiri, maka luput fadilat jemaahnya.

Begitu juga makmum yang terpaksa berdiri setentang dengan imamnya kerana tidak ada ruang di belakang, luput juga fadilat jemaahnya tetapi lebih baik daripada dia bersolat secara bersendiri­an.

2. Di tengah-tengah bangunan masjid ada dinding yang memisahkan bahagian hadapan dan belakang serta terdapat padanya pintu.

Pintu itu pula dikunci dan dipaku sehingga tidak dapat dibuka.

Tiba-tiba sebelah pintu itu terkopak tetapi tidak boleh orang melintas melaluinya? Adakah jemaah boleh bersolat di bahagian belakang masjid itu mengikuti imam di hadapan?

Sekiranya pintu dikunci dan dipaku sehingga pada adatnya tidak ada siapa pun yang boleh masuk, maka tidak sah jemaah di belakang bersolat mengikut imam.

Berlainan sekiranya pintu itu hanya dikunci saja dan boleh dibuka ketika diperlukan dan boleh orang keluar masuk melaluinya pada adat, maka sah bagi jemaah di belakang mengikut imam walaupun dalam keadaan pintu berkunci.

3. Dalam keadaan makmum sukar mengetahui pergerakan imam kerana suaranya agak perlahan, adakah ketika itu diwajibkan ke atas salah seorang makmum meninggika­n suara dengan niat zikir supaya dapat didengari makmum di bahagian belakang?

Sekiranya sudah dilantik seorang makmum untuk meninggika­n suaranya supaya dapat didengari seluruh makmum dan dia pula dibayar upah daripada harta wakaf atau daripada mana-mana sumber, maka wajib ke atas makmum itu melakukann­ya supaya dapat didengari seluruh jemaah.

Jika dia tidak dilantik dan tidak mendapat upah, tidak diwajibkan ke atasnya untuk melakukann­ya bagi mengesahka­n ibadat orang lain.

Namun, sekiranya jemaah itu bersolat Jumaat, maka semua makmum terdiri daripada mereka yang diwajibkan Jumaat dan diketahui tidak akan terhasil solat Jumaat melainkan dengan cara demikian atau bimbang solat Jumaat atau fardu kifayahnya akan jadi sia-sia, maka ketika itu hendaklah ada seorang makmum meninggika­n suara menyebut takbir bagi setiap pergerakan (takbiratul intiqalat) untuk menyempurn­akan solat Jumaat.

4. Makmum yang uzur dan lambat membaca al-Fatihah sehingga ketinggala­n daripada imamnya melebihi tiga rukun. Contohnya, imam sudah sujud sedangkan makmum belum lagi habis membaca surah al-Fatihahnya.

Ini bererti, makmum ketinggala­n daripada imam rukuk, iktidal dan sujud. Bagimanaka­h dengan solat makmum berkenaan?

Jika dia sengaja membiarkan ketinggala­n daripada imam melebihi tiga rukun fi’li dan sebaik masuk rukun keempat, maka batallah solatnya kecuali jika dia berniat mufaraqah sebelum imam sujud maka solatnya masih sah cuma sekadar itu saja ia mendapat pahala jemaahnya.

Sumber: Furu’ Al-Masa’il Wa Usul Al-Wasa’il oleh Maulana Al-Syeikh Daud Abdullah Al-Fathani dan disusun Datuk Abu Hasan Din Al-Hafiz

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia