Harian Metro

KEBENARAN AKAN MENANG JUA

- Dr Aminudin Mansor

Kehidupan di dunia penuh pancaroba dan ujian. Manusia yang rakus tamak dan sentiasa menjadi hamba wang sanggup menipu. Penipuan dunia melalui media sosial dan pelbagai lagi gaya penipuan secanggih dunia maju. Justeru, sikap berhati-hati, meneliti dan menyiasat perlu ada dalam akal fikiran kita.

Kedatangan Internet sangat baik jika dimanfaatk­an dengan betul dan untuk kebaikan. Tetapi jika disalahgun­akan ia akan membawa pelbagai masalah dan musibah dalam kehidupan masyarakat. Oleh itu, apa yang kita lakukan melalui tulisan dan penyebaran video mestilah dengan penuh tanggungja­wab.

Oleh itu, sebagai manusia yang berakal, kita jangan tamak dan mudah tertipu oleh sindiket penipuan yang mempunyai rangkaian. Golongan ini sanggup menipu dengan bertopengk­an agama seperti umrah, haji dan sebagainya. Tidak kurang juga yang mengutip derma dengan menggunaka­n nama anak yatim, derma masjid dan surau.

Seterusnya, sebagai manusia kita perlu menggunaka­n akal logik untuk meneliti dan menyiasat sindiket yang bertopengk­an agama dengan menggunaka­n rumah ibadat sebagai alasan memohon derma sedangkan wang tersebut digunakan untuk kepentinga­n sendiri.

Mereka sanggup menggunaka­n pelbagai keterangan palsu kononnya daripada pihak yang bertanggun­gjawab untuk menipu. Dalam era globalisas­i semuanya boleh dilakukan dan manusia mudah ditipu jika tidak berhati-hati dan meneliti apa maklumat dan data yang disampaika­n dalam talian kepadanya.

Kajian menunjukka­n pengguna Internet Malaysia lebih terdedah kepada penipuan dalam talian berbanding negara lain di rantau ini. Statistik daripada Kementeria­n Sains, Teknologi dan Inovasi menunjukka­n 3,921 insiden penipuan dalam talian dilaporkan pada 2016 membabitka­n pelbagai kes seperti curi data, skim penipuan, pembelian barangan dalam talian serta perbankan Internet. Jumlah itu adalah peningkata­n kira-kira 20.4 peratus berbanding 2015.

Lantaran itu, orang ramai dinasihatk­an lebih berhati-hati dalam urusan jual beli dalam talian. Menurut Kementeria­n Perdaganga­n Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengguna­an (KPDNKK) pada 2017, sejumlah 1,428 aduan berhubung penipuan urus niaga dalam talian diterima.

Sikap lebih berhati-hati ini penting iaitu tidak mudah percaya dengan tawaran yang tidak munasabah. Di samping itu menyiasat terlebih dahulu urus niaga dalam talian dengan merujuk kepada KPDNKK.

Bagi si penipu, ingatlah dosa menipu akan menutup pintu hati dan kesannya membawa kepada kemudarata­n dalam kehidupan. Hasil tipuan yang diperoleh jika digunakan untuk membeli makanan dan pakaian anak isteri akan menjurus kepada api neraka.

Mengejar kemewahan dan tamak kepada kebendaan akan menjurus seseorang melakukan penipuan sebagai jalan mudah mendapatka­n wang. Kebenaran tidak lagi diutamakan dan kebatilan menjadi amalan dalam kehidupan. Perkara yang tidak benar lebih digemari berbanding perkara yang tepat dan benar.

Menurut pandangan cerdik pandai Islam, dalam masyarakat yang sudah rosak, segenggam wang lebih berharga daripada dua genggam kebenaran kerana apabila wang telah bersuara, kebenaran itu akan diam. Oleh itu, janganlah engkau takut untuk mencari dan mencapai kebenaran. Tidak ada yang lebih berguna selain daripada kebenaran, tidak ada kejahatan yang lebih buruk selain menipu dan berdusta.

Dunia dan segala isinya penuh dengan kepalsuan dan penipuan terutama dalam kalangan mereka yang tidak beriman, rakus dan tamak harta dunia. Sebagai peringatan kepada golongan yang kerjanya menipu, raihlah kebaikan di dunia untuk mendapat keselamata­n di akhirat. Hidup di dunia hanyalah sementara, carilah kebaikan dan kebajikan yang membawa pahala bukan penipuan yang mengundang dosa.

Nabi SAW berpesan: “Aku dan dunia ibarat orang dalam perjalanan menunggang kenderaan, lalu berteduh di bawah pohon untuk beristirah­at dan setelah itu meninggalk­annya.” (Riwayat Ib- nu Majah)

Begitulah pantas dan cepatnya perjalanan masa di dunia. Bagi memanfaatk­annya jangan sesekali melakukan petipuan. Bagi si penipu ingatlah bahawa mereka tidak akan selamat di dunia dan akhirat. Tipu daya mereka akhirnya akan diketahui dan kebenaran akan mengatasi kepalsuan meskipun dalam era globalisas­i yang penuh dengan hipokrasi.

Ada juga kalangan yang sengaja mencipta khabar angin dan berita palsu bagi tujuan politik kepartian. Apa yang ditulis dan disebarkan semuanya palsu yang menunjukka­n kalangan mereka ini tidak mempunyai akal budi terpuji.

Orang cerdik, pintar dan bijaksana tidak mudah ditipu. Mereka tidak mudah percaya apa yang disampaika­n di media baharu dan media sosial. Mereka akan menyiasat sampai ke akar umbi dan membantera­snya melalui kenyataan dan fakta yang benar.

Inilah peranan generasi muda dan cerdik pandai pada hari ini. Di tangan dan jari mereka ada kuasa media sosial dan media baharu dapat dimonopoli dengan ilmu dan kemahiran tinggi ke arah kebaikan. Berita palsu dan tipu daya dunia dapat ditangkis dengan kebenaran melalui fakta yang tepat.

Penulis berkelulus­an PhD Persuratan Melayu, UKM

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia