Harian Metro

Pemilik FB cemuh polis disiasat

-

Kampar: Polis menyiasat satu status dan gambar dimuat naik seorang pemilik akaun Facebook yang meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap anggota polis didakwa bersikap kurang ajar ketika menjalanka­n tugas.

Lelaki berusia 30-an itu dipercayai tidak berpuas hati dengan tindakan polis menahannya di Jalan Baru Malim Nawar-Bandar Baru, di sini, jam 10.15 pagi kelmarin atas kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar.

Dia kemudian memuat naik status meluahkan kemarahann­ya dan sudah dikongsi lebih 2,100 pengguna Facebook setakat tengah hari dan menerima 1,700 komen dengan kebanyakan­nya mencemuh anggota polis bertugas itu.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superinten­dan Ng Kong Soon berkata, Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamata­n Komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar menyedari status dimuat naik lelaki itu pada jam 4.30 petang, kelmarin.

Katanya, satu laporan polis sudah dibuat oleh seorang daripada anggota yang dikaitkan lelaki itu dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Menurutnya, dakwaan berkenaan dipandang serius kerana boleh menjatuhka­n kredibilit­i anggota polis.

“Kita akan menjalanka­n siasatan terhadap lelaki berkenaan termasuk siasatan dalaman terhadap anggota bertugas. Saya mohon orang ramai tidak tularkan isu ini sehingga siasatan telus dijalankan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia