Harian Metro

BALA ‘IMPORT’ PENYAKIT

- Skuad Khas Harian Metro am@hmetro.com.my

Kaki sabung bawa masuk ayam dari Thailand dikhuatiri sebar virus H5N1

Bukan sekadar mempunyai elemen perjudian dan penderaan haiwan sebaliknya hobi kaki sabung ayam turut mendedahka­n negara kepada penularan penyakit berjangkit.

Mana tidaknya, kebanyakan kaki sabung ayam terutama di

Kelantan, Kedah, Perlis dan Perak dikesan membawa masuk ayam sabung dari Thailand yang dikhuatiri turut menyebarka­n virus selesema burung atau H5N1.

Skuad Khas Harian Metro menemu bual kaki sabung ayam dikenali sebagai Black, 36, yang memberitah­u kebanyakan ayam yang dibawa masuk ke ‘bon’ atau gelanggang adalah dibeli dari Thailand.

“Kebanyakan kaki sabung ayam memang beli ayam dari Siam (Thailand). Ayam sabung berkualiti dijual sekitar RM1,000 hingga RM3,000. Ramai yang sanggup bergolok bergadai untuk beli ayam dari sana,” katanya.

Ditanya bagaimana mereka menyeludup ayam berkenaan, Black berkata, banyak cara untuk membawa masuk ayam dari Thailand ke Malaysia.

“Di Sungai Golok (Kelantan) paling mudah naik sampan saja. Di Kedah pula, kadang-kala kami bawa masuk guna kereta ataupun lepaskan ayam itu di pagar sempadan (Thailand) dan rakan ambil di seberang (Malaysia). Lagipun ayam sabung ini semuanya jinak,” katanya.

Ditanya apa perbezaan ayam sabung tempatan dan yang diseludup dari Thailand, Black berkata, ayam dari negara gajah putih itu lebih tahan lasak.

“Ayam Thailand memang boleh dikatakan ‘pejuang’ sebenar. Bukan senang nak kalahkan ayam Thailand. Sebab itu ramai sanggup berbelanja besar beli ayam sabung dari sana,” katanya.

Menjawab soalan wartawan, gelanggang ataupun bon yang masih aktif di Kedah, Black berkata, antara yang terbesar serta menjadi tumpuan kaki sabung ayam adalah di Naka dan Mergong di Kedah serta Bukit Cabang, Perlis.

“Di Naka (gelanggang) ni banyak tempat dan berubah-ubah lokasinya ikut ketetapan penganjur. Selalunya gelanggang akan dibuka pada Sabtu manakala di Mergong pula pada Jumaat. Di Bukit Cabang pula gelanggang dibuka pada Sabtu,” katanya.

Black berkata, kebanyakan gelanggang membuka taruhan bermula bermula RM300 hingga RM10,000.

“Ayam biasa mungkin mereka bertaruh murah tetapi ayam Siam memang banyak taruhannya. Selalunya ikut pemilik ayam itu sendiri. Manakala, pemilik gelanggang pula akan mengenakan caj 10 peratus dari nilai taruhan.

“Ini dipanggil duit ayaq (air) ataupun upah menyediaka­n gelanggang, air basuhan ayam dan lain-lain. Itu taruhan tetap, taruhan luar gelanggang juga kadang kala bernilai ribuan ringgit mengikut persetujua­n antara kaki sabung ayam,” katanya.

Pada 19 Februari lalu, Harian Metro melaporkan penemuan lima mayat kaki sabung ayam dipercayai mati lepas di Sungai Muda di Kampung Pada Bukit, Taman Permai, Kuala Ketil dekat Baling.

Lima mayat terbabit dipercayai adalah kaki sabung ayam yang melarikan diri daripada pihak berkuasa yang melakukan serbuan di lokasi sabung ayam di Kampung Tanah Licin, Merbau Pulas pada jam 8 malam, 16 Februari lalu.

 ??  ?? GELANGGANG sabung ayam aktif di Mergong, Kedah dan Bukit Cabang, Perlis.
GELANGGANG sabung ayam aktif di Mergong, Kedah dan Bukit Cabang, Perlis.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia