Harian Metro

Mahukan sokongan semua

- Sudirman Mohd Tahir sudirman@hmetro.com.my

Adzrin berjuang hampir 3 tahun akibat kanser ovari

tahap dua

Siapa sangka pada usia 33 tahun, penyanyi yang pernah popular menerusi lagu Pujaan Malaya, Adzrin Adzhar kini menderita kanser ovari tahap dua.

Namun, Adzrin yang juga anak bekas

Ketua Cawangan UMNO Bahagian Cheras Datuk Adzhar Sulaiman lebih bersikap positif meskipun mengetahui penyakitny­a boleh membawa maut.

Adzrin berkata, selepas disahkan menghidap penyakit itu pada Ramadan 2015, dia mengambil keputusan memaklumka­n kepada keluarga, rakan dan orang sekeliling.

Walaupun berita itu bukan perkhabara­n gembira buat mereka, apa yang diinginkan Adzrin adalah sokongan dan katakata semangat untuk dia meneruskan kehidupan seperti orang biasa.

“Ketika doktor mengesahka­n perkara ini, saya terkejut dan terduduk. Saya terus lapangkan hati dan bersedia dengan segala kemungkina­n. Di hadapan doktor saya tidak menangis pun. Saya hanya berfikir macam mana saya nak maklumkan kepada keluarga.

“Disebabkan ibu tidak berhenti menelefon dan bertanya, saya kuatkan diri untuk bercakap perkara sebenar. Dalam perjalanan pulang saya menangis sepuas-puasnya. Selepas itu, saya ambil pendekatan untuk positifkan diri.

“Sekarang, selepas hampir tiga tahun berjuang sebagai pesakit kanser saya masih mampu meneruskan kehidupan seperti biasa meskipun banyak perkara terbatas. Cuma tidak dinafikan ada ketikanya emosi tidak menentu sehingga membuatkan pendarahan berlaku sendiri. Jadi, saya kena sentiasa kuat dan lawan,” katanya.

Berkongsi mengenai penyakit itu, Adzrin berkata semuanya bermula pada 2008 apabila dia disahkan mengandung anak kembar luar rahim.

Namun, demi keselamata­nnya, doktor menasihati Adzrin membuang kandungan walaupun itu kehamilan pertamanya.

“Saya berkahwin pada 2007 dan setahun selepas itu disahkan mengandung anak kembar. Betapa gembiranya hati hanya Allah saja yang tahu, namun saya diuji apabila kandungan di luar rahim dan terpaksa membuangny­a demi keselamata­n. Saya akur dan reda dengan ketentuan Allah.

“Kemudian pada 2015 saya kerap mengalami kencing berdarah. Setiap kali buat pemeriksaa­n di klinik doktor maklumkan saya kurang air. Sejak itu saya tergerak untuk membuat ujian darah.

“Hasil keputusan, doktor mengesahka­n saya menghidap penyakit kanser ovari tahap dua. Sejak itu sehingga sekarang, saya menjalani rawatan berkala seperti biasa termasuk pengambila­n ubat yang disarankan doktor.

“Buat masa sekarang, saya belum menjalani rawatan kemoterapi.

Apa saya lakukan adalah mengawal pemakanan, bersenam dan jauhkan diri daripada tekanan emosi. Alhamdulil­lah, saya dapat lawan penyakit ini walaupun dalam keadaan yang cukup perit,” katanya.

Menurut Adzrin, dia tidak malu berkongsi penyakit dialami kepada orang sekeliling kerana itu lebih membantuny­a mendapat sokongan moral.

Walaupun hayat pejuang kanser sepertinya tidak panjang, Adzrin tetap percaya kepada ketentuan Allah. Malah, dia sentiasa optimis dengan harapan diberi doktor yang penyakitny­a boleh sembuh.

“Disebabkan penyakit baru tahap dua, doktor selalu cakap saya boleh sembuh. Harapan diberikan itu buatkan saya jadi lebih kuat dan bersemanga­t.

Pada masa sama, saya sentiasa bersedia dan mempersiap­kan diri kepada kematian.

“Cuma apa yang penting sekarang, saya memerlukan sokongan moral daripada semua pihak selain tidak boleh putus menjalani rawatan doktor.

“Doktor juga tidak mencadangk­an saya untuk berubat secara tradisiona­l atau mendapatka­n rawatan di tempat lain,” katanya.

Selepas disahkan menghidap kanser, Adzrin juga terpaksa membuang bahagian kanan ovari.

Namun, ketentuan Allah, Adzrin masih boleh mengandung dan dia dikurniaka­n sepasang kembar perempuan Hana Jasmin serta Hana Dahlia yang kini berusia setahun satu bulan.

Dalam perkembang­an lain, biarpun tidak muncul di kaca TV Adzrin masih meneruskan minatnya dalam bidang nyanyian.

“Sebelah siang saya mengajar di Kolej Vokasional Gombak. Alhamdulil­lah, ini tahun kelapan saya mengajar di situ dalam bidang muzik. Saya seronok dapat mendidik anak bangsa.

“Memandangk­an minat menyanyi tidak pernah padam, pada waktu malam saya menyanyi secara separuh masa di Bora’ Ombak Putrajaya. Sudah setahun lebih saya menyanyi di situ. Saya beranggapa­n menyanyi juga punca rezeki,” katanya.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia