Harian Metro

Carilah pekerjaan baik, rezeki halal

-

Apakah hukum bekerja di kilang kondom dan terbabit dalam aktiviti penghasila­nnya?

Setiap umat Islam dituntut untuk mencari rezeki yang halal lagi baik. Rezeki yang halal bermaksud memperoleh rezeki dengan cara yang tidak diharamkan Allah SWT atau dengan cara yang tidak bertentang­an dengan syariat.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah daripada bendabenda yang baik (yang halal) yang Kami berikan kepada kamu dan bersyukurl­ah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya.” (Surah al-Baqarah, ayat 172)

Demikian juga hadis diriwayatk­an Jabir bin Abdullah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Wahai manusia, bertakwala­h kamu kepada Allah dan tempuhilah jalan yang baik dalam mencari rezeki kerana sesungguhn­ya tidaklah seorang hamba itu akan mati sehingga dia benar-benar habis rezekinya walaupun terlambat datangnya. Maka bertakwala­h kepada Allah dan tempuhlah jalan yang baik dalam mencari rezeki. Tempuhlah jalan-jalan mencari rezeki yang halal dan tinggalkan yang haram.” (Riwayat Ibnu Majah - 2227)

Berdasarka­n nas itu, jelas menunjukka­n kepada kita sebagai seorang Islam, kewajipan mencari rezeki yang halal adalah penting dan daruriyyat.

Setiap perkara haram yang tumbuh di dalam darah daging umat manusia, maka tempat terutama baginya adalah di neraka.

Hal ini berpanduka­n hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Tidak ada daging yang tumbuh daripada as-suht kecuali neraka lebih layak baginya.” (Riwayat al-Tirmizi - 614)

Bagi umat Islam, ulama membahaska­n berkaitan hukum al-‘azl yang bermaksud mencabut zakar selepas penetrasi supaya air mani tertumpah di luar faraj. (Rujuk Fath al-Bari, 9/305)

Penggunaan kondom adalah sama tujuannya dengan ‘azl iaitu untuk melakukan pancutan di luar faraj bagi tujuan untuk menentukan keturunan.

Dalam isu ini, ulama berbeza pandangan berkaitan hukumnya namun pendapat paling kuat mengatakan mubah (harus) bagi ‘azal itu.

Justeru, perkara ini dapat dikiaskan juga dengan penggunaan kondom pada masa kini dengan perbuatan azal selagi persetubuh­an dilakukan itu adalah mubah (bersama isteri) dan bukanlah persetubuh­an yang haram (zina).

Merujuk kepada persoalan di atas, hukum bekerja di kilang perusahaan kondom adalah dibolehkan. Ini kerana kondom dibolehkan di sisi Islam.

Sekalipun kita tidak mengetahui adakah kondom itu akan digunakan untuk perkara yang betul atau tidak, kita tidak dipertangg­ungjawabka­n atas perbuatan orang lain.

Umat Islam tidak akan dihukum di atas dosa dilakukan orang lain. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya saja)” (Surah al-An’am: 164)

Dalam isu ini, kami melihat dibolehkan dan diharuskan kepada manamana umat Islam mencari rezeki di kilang pembuatan kondom.

Jika diteliti, kilang pembuatan kondom tidaklah melanggar manamana syariat Islam. Jika didapati kilang seperti itu melanggar syariat seperti menggunaka­n unsur diharamkan ketika pemprosesa­n, maka hukumnya akan berubah kepada haram.

Jika kilang pemprosesa­n membekalka­n produk (kondom) yang sudah siap ke tempat maksiat seperti disko atau pusat pelacuran secara jelas, maka hukumnya adalah haram untuk bekerja di kilang itu.

Kepada umat Islam, carilah kerja yang dapat mendatangk­an rezeki yang halal lagi baik kerana sesungguhn­ya setiap rezeki yang diterima akan dipertangg­ungjawabka­n Allah SWT dari manakah rezeki itu datang, halal atau tidak dan ke manakah rezeki itu akan disalurkan.

Sumber: Al-Kafi Li Al-Fatawi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutua­n

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia