Harian Metro

Burnley lega tamat badi

-

London: Burnley menamatkan kemarau 11 perlawanan tanpa kemenangan dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila menewaskan Everton 2-1, malam kelmarin.

Penyerang New Zealand, Chris Wood menjadi wira pasukannya apabila menanduk masuk jaringan kemenangan menerusi tandukan 10 minit sebelum permainan berakhir di Turf Moor.

Diturunkan pada babak kedua dari bangku simpanan, Wood meledak gol pertamanya sejak November lalu dengan kali terakhir anak buah Sean Dyche meraih tiga mata adalah pada 12 Disember lalu.

Everton begitupun menguasai perlawanan di awal permainan dan terlebih dulu membuka tirai jaringan menerusi Cenk Tosun pada minit ke-20.

Ia adalah gol pertama Tosun daripada lima penampilan sejak berpindah ke pasukan berkenaan Januari lalu dari Besiktas dengan nilai £27 juta (RM146 juta).

Berpunca daripada hantaran Theo Walcott yang terkena Seamus Coleman, Tosun yang juga penyerang Turki pantas menanduk peluang untuk mengatasi penjaga gol tuan rumah, Nick Pope.

Tosun yang dikaitkan dengan perpindaha­n semula ke Besiktas selepas permulaan hambar dalam kariernya di Everton, adalah pemain Turki pertama yang meledak jaringan di EPL yang kali terakhir dilakukan pemain Reading, Jem Karacan, lima tahun lalu.

Tanpa tambahan jaringan berakhir babak pertama, penyerang Burnley, Ashley Barnes berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-56 selepas memanfaat sepenuhnya hantaran cantik Matt Lowton untuk melakar gol keenamnya musim ini.

Wood yang membuat penampilan pertamanya sejak kecederaan panjang, menjamin kemenangan buat The Clarets pada minit ke-80.

Keadaan bertambah parah buat Everton apabila terpaksa berakhir 10 pemain pada minit ke-85 selepas Ashley Williams dilayangka­n kad merah kerana menyiku Barnes ketika sepakan percuma.

Kemenangan membantu Burnley untuk kekal di tangga ketujuh liga selain kali pertama dalam 53 perlawanan liga di bawah Dyche di mana mereka meraih kemenangan selepas ketinggala­n pada gol pembukaan. - AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia