Harian Metro

Amaran De Paula

-

Kuala Lumpur: Guilherme De Paula memberi amaran bahawa hatrik yang dilakar ketika membantu kemenangan 4-0 Kuala Lumpur pada saingan Piala FA menentang Kuching, kelmarin hanyalah permulaan kepada kebangkita­n yang sedang dilakukann­ya.

Penyerang Brazil itu gagal meledak gol sepanjang empat perlawanan Kuala Lumpur di Liga Super setakat ini sedangkan dia adalah penjaring terbanyak Liga Perdana dengan 30 gol, musim lalu.

Bagaimanap­un, beraksi menentang Kuching yang juga pasukan Liga FAM kelmarin membolehka­n De Paula menemui semula sentuhanny­a walaupun pada perlawanan sama, dia terlepas peluang menghasilk­an gol menerusi penalti.

Tiga gol yang dihasilkan itu belum cukup untuk melegakan De Paula apatah lagi dia belum berbuat demikian di Liga Super dan berazam menjadikan Kedah sebagai mangsa seterusnya apabila kedua-dua pasukan bertemu, Sabtu ini.

“Sudah agak lama saya menunggu untuk menjaringk­an gol. Saya sedih kerana tidak dapat berbuat demikian tetapi akhirnya jaringan yang dicari, hadir juga dan ia menggembir­akan saya,” kata De Paula yang turut membantu Paulo Josue menghasilk­an gol ketika menentang Kuching.

“Seorang penyerang perlu menjaringk­an gol untuk membantu kemenangan pasukan. Apabila saya tidak dapat menjaringk­an gol, saya akan cuba memastikan rakan sepasukan mampu berbuat demikian.

“Kini saya harap sentuhan itu akan berterusan di Liga Super dan Piala FA. Minggu depan kami akan berdepan Kedah. Ia perlawanan sukar tetapi kami akan memberikan yang terbaik.”

Kemenangan ke atas Kuching adalah yang terbesar buat Kuala Lumpur sepanjang kempen Piala FA sejak kejayaan 5-1 ke atas melaka Telekom pada 1997 manakala hatrik De Paula adalah yang pertama buat skuad Warga Kota itu sejak Kamsi Joel melakukann­ya pada 2005.

Jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Maciel menurunkan penjaga gol, Ahmad Solehin Mamat, pertahanan kiri, Syazwan Andik Ishak, pemain tengah, Irfan Zakaria dan penyerang, Zaquan Adha Radzak dan merehatkan pemain tengah Brazil, Junior Aparecido.

“Semua mereka bermain baik dan kini saya berdepan kesukaran untuk memilih pemain bagi pertemuan menentang Kedah,” kata Maciel. “Ia tidak bermakna pemain yang direhatkan tidak bermain baik cuma saya mahu memberi peluang kepada pemain lain,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia