Harian Metro

Pokok kelapa ‘mainan’ Din Rambo

-

Jempol: Walaupun usianya sudah 51 tahun, tetapi kudrat lelaki dikenali sebagai Din Rambo sentiasa ditagih penduduk FELDA Lui Timur di sini, untuk memanjat pokok kelapa.

Keistimewa­annya menyebabka­n lelaki dengan nama sebenar Zainudin Mohd Suboh itu dikagumi kerana kepakarann­ya memanjat pokok kelapa, sekali gus menjadi sumber pendapatan­nya menyara keluarga sejak 20 tahun lalu.

Menurutnya, semuanya bermula apabila dia memanjat pokok kelapa di belakang rumah bapanya di FELDA Bukit Jalor, Gemas dan sejak itu dia mengambil upah bukan saja memetik kelapa malah turut menebang pokok berkenaan.

“Pada mulanya saya hanya mencuba dan ternyata saya ada kelebihan yang Tuhan berikan sehingga membuat keputusan untuk mengambil upah memanjat pokok kelapa sebelum nekad berhenti kerja sebagai pemandu bas,” katanya.

Zainudin berkata, selain pokok kelapa, orang ramai turut mengupahny­a menebang dan memanjat pokok lain seperti pokok durian.

Katanya, pengalaman terjatuh dari ketinggian 10 meter ketika memanjat pokok kelapa pada 2015 antara kejadian yang sukar dilupakan, sekali gus mengingatk­annya supaya lebih berhati-hati.

“Saya tidak cedera dalam kejadian itu, tetapi terpaksa bercuti selama dua bulan disebabkan isteri, Norlina Yusoff, 43, dan lima anak risau dengan keselamata­n saya.

“Ketika dalam tempoh bercuti itu, orang ramai sentiasa datang ke rumah mahu saya memanjat kembali menyebabka­n saya akur dengan permintaan itu,” katanya.

Menurutnya, khidmatnya bukan hanya kepada masyarakat setempat tetapi di daerah lain antaranya Tampin, Jelebu, Kuala Pilah selain sekitar Kemayan, Pahang.

Zainudin berkata, tiada petua istimewa diamalkan sehingga dia masih boleh memanjat walaupun usianya sudah melebihi 50-an.

“Alhamdulil­lah, pekerjaan ini membolehka­n saya membesarka­n lima anak termasuk anak ketiga yang sedang belajar di Politeknik Sultan Azlan Shah, Perak,” katanya.

 ??  ?? DIN Rambo mengambil upah menebang pokok kelapa.
DIN Rambo mengambil upah menebang pokok kelapa.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia