Harian Metro

Suami mangsa direman 7 hari

-

Kuching: Polis kelmarin menahan peniaga yang juga suami kepada wanita yang kepalanya ditemui tanpa badan di tebing Sungai Batang Lupar di Jalan Skait Lama, di sini, Sabtu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, suspek berusia 42 tahun ditahan selepas memberikan keterangan meragukan mengenai kehilangan isterinya yang berusia 31 tahun itu.

Beliau berkata, identiti mangsa yang juga warga China sebelum ini dicamkan bapanya di Hospital Sri Aman, sehari selepas penemuan kepala wanita itu.

“Susulan itu, polis bertemu suami mangsa bagi mendapatka­n maklumat lanjut mengenai kehilangan isterinya.

“Suspek mendakwa isterinya hilang beberapa hari namun dia tidak membuat laporan polis atas alasan tertentu,” katanya dalam kenyataan media, di sini, semalam.

Dev berkata, berikutan keterangan suspek yang meragukan, polis menahan lelaki itu untuk siasatan lanjut.

Katanya, polis mendapatka­n perintah reman terhadap suspek selama tujuh hari, bermula semalam.

Bagaimanap­un, pihaknya masih menjalanka­n siasatan lanjut berhubung kejadian mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Bedah siasat terhadap kepala ditemui dijalankan esok (hari ini) di Hospital Sri Aman,” katanya.

Difahamkan, suspek dan mangsa berkahwin pada 2011 sebelum menetap di Sri Aman dan pasangan itu mempunyai dua anak.

Pada 3 Mac lalu, orang ramai dikejutkan dengan penemuan kepala wanita tanpa badan di tebing Sungai Batang Lupar.

Ia ditemui jam 4.30 petang oleh orang awam yang memaklumka­n kejadian kepada pihak berkuasa.

Penemuan mencetuska­n misteri kerana tiada maklumat mengenai kehilangan individu yang dilaporkan kepada polis.

Selain itu, pihak berkuasa tidak menerima maklumat kes serangan buaya di Sungai Batang Lupar yang terkenal sebagai satu daripada sungai di negeri ini yang menjadi lubuk sang bedal.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia