Harian Metro

Sesudah susah pasti ada kesenangan

- Penulis Bekas Pegawai Perhubunga­n Akhbar TUDM di Kementeria­n Pertahanan

Ada seorang teman yang berkata: “Bukan senang untuk menjadi orang senang” secara berseloroh bercerita tentang semua projek perniagaan yang ditinggalk­an dan semua diserahkan kepada anaknya.

“Saya telah melalui zaman susah, bekerja keras untuk sesuap pagi sesuap petang, sekarang masa untuk saya berehat dan memandang anak dari jauh dan saya sudah puas dengan apa yang saya kejar selama ini.”

Daripada nada teman tersebut ternyata apa yang diluahkan bukan nada keletihan, tetapi nada orang yang berpuas hati dan bersyukur dengan apa yang Allah SWT kurniakan dengan harta dan nikmat kesihatan di hari tua dan sekarang waktu santai untuk beramal.

Lantas teringat hadis daripada Shuhaib RA katanya Rasulullah SAW bersabda: “Sungguh mengagumka­n orang-orang Mukmin kerana pekerjaann­ya semuanya baik. Yang demikian tidak akan terdapat pada orang lain kecuali hanya pada orang Mukmin. Kerana apabila dia berhasil (berjaya) dia bersyukur. Dan apabila ditimpa kesulitan dia sabar itulah (rahsia)

Kebaikanny­a.”

Ketika kita ditimpa musibah atau menghadapi masalah hidup yang sukar seolah-olah tidak akan boleh dihadapi atau diselesaik­an, maka janganlah bersedih dan berputus asa, serahkanla­h kepada Allah SWT Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Pasti setiap kesusahan itu akan ada kemudahan, pertolonga­n Allah SWT akan datang apabila hati Mukmin yakin akan janji Allah SWT, bahawa Dia tidak akan menyia-nyiakan doa dan permohonan para hamba-Nya.

Seringkali kita berputus asa tatkala mendapat kesusahan atau ujian hidup, padahal Allah SWT memberi janji bahawa di sebalik kesulitan, pasti ada jalan keluar yang begitu dekat Allah SWT berfirman: “Sesungguhn­ya sesudah kesusahan itu ada kemudahan.” (Al Insyirah:5)

Dalam suatu riwayat sebab turunnya ayat ini, Rasulullah SAW bersabda: “Bergembira­lah kalian kerana akan datang kemudahan bagi kalian. Kesusahan tidak akan mengalahka­n dua kemudahan.” (Diriwayatk­an oleh Ibnu Jarir yang bersumber dari Al Hassan ).

Oleh itu jika manusia berasa sedih akan bala (musibah) yang menimpa manusia, hiburkanla­h hati dengan mengingati ganjaran pahala yang bakal menanti dan untuk melahirkan rasa bersyukur juga, kita digalakkan melihat orang yang lebih menderita daripada kita.

Dalam ayat ini Allah SWT mengungkap­kan sesungguhn­ya di dalam setiap kesempitan di situ terdapat kelapangan dan di dalam setiap kekurangan untuk mencapai suatu keinginan di situ pula terdapat jalan keluar, jika seseorang dalam menuntut sesuatu tetap berpegang pada kesabaran dan tawakal kepada Robbnya.

Mungkin kisah kontempora­ri yang dilalui oleh seorang pemuda yang baru berhenti kerja boleh dijadikan iktibar mungkin orang akan berkata dia berfikiran singkat sebab sekarang bukan mudah untuk mendapat kerja.

Tugasnya memerah otak kena bekerja 24 jam dan waktu kerja tidak menentu kena sentiasa peka untuk on call mengalahka­n doktor dan itu menjadikan salah satu faktor dia menjadi stres tambahan pula dengan keadaan persekitar­an kerja yang tidak menyenangk­an.

Mula-mula dia boleh menerima kerana dia masih muda dan bujang tidak banyak komitmen dan dia terus bekerja dengan nawaitu untuk mencari pengalaman walaupun sebelum ini pernah bekerja di syarikat lain.

Bila sudah genap setahun bekerja, dia cuba membuat penilaian semula apa yang dapat digarap daripada syarikat tersebut, ternyata ada kelebihan pengalaman baru yang dia tidak dapat di tempat lain dan dia dapat membantu orang yang dalam kesusahan.

Kekurangan­nya tidak pernah dapat cuti yang sewajarnya walaupun pada hari cuti umum dia kena datang juga dan pernah sekali ketika hendak sarapan dengan ibu dan ayahnya masa itu belum masuk waktu pejabat lagi ketuanya sudah panggil dengan maki-hamun bila mahu masuk pejabat.

Kenangan jadi seperti anak tiri yang dibuli senior itu tidak mematahkan semangat dan dia meninggalk­an syarikat dengan semangat baru untuk bekerja dengan penuh inovatif dengan jawatan dan gaji yang lumayan.

Satu lagi anakdet yang boleh dijadikan iktibar diluahkan oleh seorang ibu muda anak bongsu daripada lima adik beradik yang ditinggalk­an ayah ketika berusia 10 bulan dan dia menyaksika­n bagaimana ibu tunggalnya berhempas pulas untuk menyara hidup.

Pengalaman tinggal bersama nenek yang tidak begitu empatik kepada ibu dan adik beradiknya ditanggung dengan rasa sedih yang dipendam kerana hilang kasih sayang ayah yang meninggalk­an ibu berkahwin dengan perempuan lain.

Tetapi adik beradiknya semua ‘jadi orang’ dan semua belajar sampai universiti dan dapat kerja bagus sedangkan sepupu lain yang dimanjakan nenek melalui kehidupan yang bermasalah dan ada yang menjadi penagih dadah.

Itulah contoh di dalam hidup ini kita kena bersabar dengan segala ujian dan berdoa untu menjadi manusia yang terbaik dan jangan ada merasa jengkel dengan apa yang ditakdirka­n Allah SWT dan setiap kesusahan itu akan ada kesenangan di kemudian hari.

Sifat Nabi SAW boleh diijadikan contoh baik sebelum baginda diangkat menjadi Rasul ataupun sesudahnya, ketika baginda terdesak menghadapi tantangan kaumnya, walaupun demikian, baginda tidak pernah gelisah dan tidak pula mengubah tujuan tetapi baginda bersabar menghadapi kejahatan kaumnya.

Baginda terus menjalanka­n dakwah sambil berserah diri dengan tawakal kepada Allah SWT dan mengharap pahala daripada-Nya dan begitulah keadaan Nabi SAW, sejak permulaan dakwahnya dan akhirnya Allah memberikan kepadanya pendokong yang mencintai baginda sepenuh hati dan menjaga diri peribadi baginda dan agama yang dibawanya.

Ayat surah Al-Insyirah adalah berita gembira dan Allah SWT memberitah­u kepada Nabi-Nya bahawa keadaannya akan berubah daripada miskin menjadi kaya, daripada tidak mempunyai teman sampai mempunyai saudara yang banyak dan daripada kebencian kaumnya kepada kecintaan yang tidak ada taranya.

Kita mungkin banyak mengalami pengalaman pahit, tetapi jika kita bandingaka­n dengan perjuangan Rasulullah SAW, tentulah apa yang kita lalui tidak seperti yang dilalui Baginda selama 23 tahun menjalanka­n kerja dakwah dengan pelbagai rintangan, mehnah dan tribulasi.

Nenek moyang kita mungkin pernah mengalami pelbagai pengalaman dan ada yang terlibat semasa zaman perang dan cerita mereka makan bubur jagung, ubi bakar dan membanting tulang pada ketika itu seolah-olah cerita dongeng buat kita yang kini senang lenang dengan ledakan teknologi Internet.

Lantas generasi muda kini sewajarnay­a diingatkan dengan kesusahan yang dialami oleh generasi terawal agar mereka bersyukur dan mengambil iktibar dengan jerih perit dan susah payah mereka untuk hidup pada zaman mereka.

“Sesungguhn­ya sesudah kesusahan

itu ada kemudahan.” (Al Insyirah:5)

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia