Harian Metro

Tohmahan TN50 tidak berasas

-

Tohmahan kononnya Transforma­si Nasional 2050 (TN50) hanya digunakan sebagai

‘masa tambahan’ bagi merealisas­ikan baki matlamat yang digariskan dalam Wawasan 2020 tidak berasas sama sekali.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy

Jamaluddin berkata, Wawasan 2020 berbeza dengan TN50 yang bakal memperuntu­kkan aspirasi dan sasaran secara objektif bagi meletakkan Malaysia dalam kelompok 20 negara terbaik di dunia.

Berdasarka­n semakan, beliau berkata, Wawasan 2020 sebaliknya memperuntu­kkan hanya sembilan cabaran yang perlu didepani Malaysia dalam merencana hala tuju negara.

“Daripada sembilan, hanya satu yang jika diteliti ia sasaran objektif iaitu menjadikan Malaysia sebagai negara maju dan berpendapa­tan tinggi.

“Susulan kebanyakan sasaran Wawasan 2020 adalah bersifat subjektif, maka setiap gerak kerja ke arah merealisas­ikan matlamat berkenaan masih giat dijalankan dan berkemungk­inan ia memerlukan tempoh panjang untuk menjadi kenyataan.

“Ini semua terkandung dalam dokumen Wawasan 2020 yang ditulis Pengerusi Institut Pengajian Antarabang­sa dan Strategik Malaysia (ISIS), Allahyarha­m Tan Sri Dr Mohammad Noordin Sophie dan dibentangk­an Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Dewan Perniagaan Malaysia pada 1991,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa (PAN-Parit Buntar) yang meminta perincian sama ada kerajaan membuat penilaian terhadap pencapaian Wawasan 2020 sebelum merangka TN50.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia