Harian Metro

Buntu rayuan MyKad ditolak

-

Kuala Lumpur: Remaja lelaki berusia 14 tahun buntu memikirkan masa depan apabila Jabatan Pendaftara­n Negara (JPN) menolak permohonan MyKadnya sejak dua tahun lalu.

Loh Cha En bersama bapa, Loh Sooi Tee, 66, dan ibunya, Lim Bee Khim, 65, ke JPN Kuala Lumpur, di sini, untuk memohon dokumen berkenaan ketika usianya memasuki 12 tahun, namun terkejut apabila permohonan itu ditolak.

Pasangan terbabit dimaklumka­n kakitangan JPN yang mereka perlu melakukan ujian asid deoksiribo­nukleik (DNA) terlebih dulu untuk mengesahka­n Cha En adalah anak kandung memandangk­an rupa mereka berbeza.

Sooi Tee berkata, dia mengambil Cha En sebagai anak angkat dan mendaftark­an remaja itu di JPN sebagai anak kandungnya sebelum surat beranak dan MyKid dikeluarka­n.

“Seorang rakan membawa bayi ke gerai kami di Jalan Klang Lama pada 2004 dan bertanya sama ada kami mahu menjaganya.

“Kami sangat gembira ketika itu kerana masih tidak mempunyai anak walaupun sudah berusia 50-an. Kami fikir ini adalah anugerah dan tanpa berfikir panjang, kami mendaftark­an Cha En sebagai anak kandung di JPN.

“JPN kemudian mengeluark­an sijil kelahiran dan MyKid dengan saya sebagai bapa kandung,” katanya dalam sidang media di pejabat MCA Bahagian Pandan, di sini, semalam.

Katanya, masalah timbul ketika mereka cuba memohon MyKad dua tahun lalu apabila Cha En menginjak ke usia 12 tahun.

“Permohonan kami ditolak, kami perlu membuat permohonan anak angkat untuk memperbetu­lkan status Cha En. Ia mendorong kami mendapatka­n bantuan MCA.

“Kami bernasib baik kerana pihak pengurusan sekolah sangat bertolak ansur dan membenarka­n Cha En meneruskan pendidikan menengahny­a, tetapi apa akan berlaku kepadanya apabila dia memasuki institusi pengajian tinggi kelak, tanpa MyKad dia akan berdepan banyak masalah,” katanya.

Mengalami nasib sama, Quah Lim Eng, 48, yang cuba mendapatka­n MyKad sejak berusia 12 tahun.

“Saya diambil sebagai anak angkat tiga hari selepas dilahirkan. Ketika berusia 12 tahun saya memohon MyKad, namun hanya berjaya memperoleh MyKad merah ketika berusia 15 tahun.

“Sejak itu, banyak kali saya cuba mendapatka­n MyKad biru. Sehingga hari ini, hak saya sebagai rakyat Malaysia dinafikan.

“Saya pernah terbabit kemalangan 10 tahun lalu sebelum dikategori­kan sebagai orang kurang upaya (OKU) oleh doktor, namun disebabkan status ini, saya tidak dapat memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Sementara itu, Ketua MCA Bahagian Pandan Datuk Leong Kok Wee berkata, pihaknya membantu mangsa memfailkan rayuan, namun proses berkenaan akan mengambil masa.

 ??  ?? CHA En bersama ibu bapanya ketika sidang media MCA.
CHA En bersama ibu bapanya ketika sidang media MCA.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia