Harian Metro

Ugut pecah kepala tuan rumah kutip sewa

-

Penampang: Bukan saja tidak mahu membayar sewa, seorang lelaki bertindak memarahi dan mengugut untuk memecahkan kepala tuan rumahnya dengan pisau.

Itu tindakan seorang lelaki berusia 28 tahun apabila diminta untuk membayar sewa rumah di sebuah apartmen di Jalan Bundusan, di sini, kelmarin.

Bagaimanap­un, tindakan lelaki itu hanya mengundang padah apabila dia diberkas selepas mangsa yang berusia 35 tahun membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superinten­dan Mohd Haris Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati, pada kejadian jam 11 pagi itu, tuan rumah berkenaan dikatakan pergi ke apartmen itu untuk mengutip sewa daripada penyewa.

“Sebaik tiba di rumah itu, seorang lelaki tidak dikenali menegur mangsa dan bertanyaka­n siapa dan apa tujuannya datang ke rumah berkenaan.

“Mangsa kemudian menjawab bahawa dia adalah tuan rumah sebelum suspek memarahi dan mengugut untuk memecahkan kepala mangsa dengan pisau,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mohd Haris berkata, suspek dikatakan turut mengajak mangsa keluar dari rumah untuk bergaduh.

Beliau berkata, susulan kejadian, mangsa yang bekerja sebagai seorang jurujual membuat laporan polis, sebelum suspek diberkas jam 5.30 petang, hari sama.

Menurutnya, polis masih menjalanka­n siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya.

Suspek turut mengajak mangsa keluar dari rumah untuk bergaduh”

Mohd Haris Ibrahim

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia