Harian Metro

TIBI, KUSTA KEMBALI MENULAR

Penyakit batuk kering turut meningkat hingga 8 peratus

- Nik Sukry Ramli news@nstp.com.my

Biarpun ada yang menganggap penyakit kusta sudah ‘pupus’, pihak Kementeria­n Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati penyakit kusta dan batuk kering menunjukka­n peningkata­n empat serta lapan peratus sepanjang tahun lalu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramania­m berkata, sebanyak 26,168 kes baru penyakit tibi dilaporkan tahun lalu, meningkat lapan peratus berbanding 24,220 kes pada tahun sebelumnya.

Katanya, bagi penyakit kusta pula, 214 kes direkodkan tahun lalu, berbanding 206 kes pada 2016 dengan 13 daripadany­a membabitka­n kanak-kanak di Kelantan, Pahang, Sabah dan Terengganu.

“Kita dapat merekodkan kes (tibi) ini selepas melakukan pengesanan dan saringan. Sepanjang tahun lalu, 418,897 golongan berisiko tinggi menjalani ujian saringan X-ray (dada) dan kita berjaya mengesan dan memberi rawatan awal kepada 3,631 individu.

“Kadar kematian akibat penyakit tibi pada 2015 adalah 5.5 kes bagi setiap 100,000 penduduk, meningkat kepada 6.8 kes setiap 100,000 pada 2017,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Tibi dan Kusta Sedunia Peringkat Kebangsaan di Dewan Semai Bakti FELDA Bukit Goh, di sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Azman Abu Bakar.

Turut hadir, Pengarah Kesihatan negeri, Dr Sha’ari Ngadiman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Datuk Sohaimi Mohamed Shah dan ADUN Panching, Datuk Mohd Zaili Besar.

Sambutan tahun ini yang bertemakan ‘Ke Arah Malaysia Bebas Tibi dan Kusta: Kesan Awal dan Pastikan Sembuh’ bermula Sabtu lalu menyediaka­n pameran mengenai penyakit tibi dan kusta, pemeriksaa­n kesihatan percuma dan pelbagai aktiviti yang boleh disertai orang awam.

Dr Subramania­m berkata, Pelan Strategik Kebangsaan (2016-2020) menyasarka­n penurunan 25 peratus kes kematian berpunca penyakit tibi dan Kementeria­n Kesihatan akan terus melakukan program kesedaran mengenai bahaya penyakit berkenaan dengan lebih agresif.

 ??  ?? AZMAN (tiga dari kiri) melakukan gimik perasmian pada Majlis Sambutan Hari Tibi dan Kusta Sedunia Peringkat Kebangsaan 2018 di Dewan Semai Bakti, FELDA Bukit Goh.
AZMAN (tiga dari kiri) melakukan gimik perasmian pada Majlis Sambutan Hari Tibi dan Kusta Sedunia Peringkat Kebangsaan 2018 di Dewan Semai Bakti, FELDA Bukit Goh.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia