Harian Metro

PERBUATAN KEJI

- Ferzalfie Fauzi ferzalfie@hmetro.com.my

 Renuga kutuk pemain atur perlawanan demi wang

Pemain badminton Australia kelahiran Malaysia, V Renuga mengakui perbuatan mengatur perlawanan yang hangat diperkatak­an sejak kebelakang­an ini satu perbuatan amat tidak beretika dalam sukan itu.

Menurut pemain berusia 32 tahun itu, walaupun dia tidak mengikuti dengan lebih dekat kes dua pemain yang menghadapi enam pertuduhan mengatur perlawanan, namun bagi dirinya sukan harus berjalan dalam suasana adil.

“Bayangkan ada pemain yang sudah berlatih dengan bersungguh-sungguh, tapi kes ini pula berlaku. Bukan semua pemain mahu mendapatka­n wang dengan cara mudah,” kata Renuga yang akan beraksi pada Sukan Komanwel buat kali ketiga di Gold Coast bulan depan.

Jelasnya, kebanyakan rakan sepasukann­ya dan warga badminton Australia juga berasakan perbuatan mengatur perlawanan melanggar etika.

“Bagaimanap­un, mereka mungkin dapat berasakan sendiri persaingan sengit yang berlaku di Malaysia dalam kalangan pemain badminton, jadi perkara ini bukan satu isu. Saya tetap akan berkata tidak dan tiada kompromi dengan perbuatan mengatur perlawanan.

“Saya bermain badminton pun kerana minat yang mendalam dalam sukan ini, bukan hanya ingin mengejar duit semata-mata. Perbuatan mengatur perlawanan akan menyebabka­n seseorang itu akan berasa menyesal seumur hidup mereka,” katanya yang pernah mara ke suku akhir Sukan Olimpik London 2012.

Sementara itu, Renuga berkata, penampilan di Sukan Komanwel kali ini sedikit berbeza berbanding dua edisi sebelum ini, kerana ia diibaratka­n seperti beraksi di gelanggang sendiri walaupun dia pemain kelahiran Malaysia.

“Segala persiapan berjalan lancar, walaupun saya sudah tidak beraksi secara kompetitif selama tiga tahun. Sekarang saya kembali lagi dan sudah turun ke gelanggang. Sebelum ini saya sentiasa meletakkan sasaran untuk meraih pingat tapi kali ini mengharapk­an dapat memberikan aksi terbaik.”

 ?? FOTO: NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN ?? RENUGA (kiri) pada sesi latihan dan ramah mesra bersama kanak-kanak dari Majlis Sukan India Selangor di Dewan Badminton FRIM, Kepong, semalam.
FOTO: NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN RENUGA (kiri) pada sesi latihan dan ramah mesra bersama kanak-kanak dari Majlis Sukan India Selangor di Dewan Badminton FRIM, Kepong, semalam.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia