Harian Metro

Wujud program kesedaran gempa bumi

-

Kota Kinabalu: Kerajaan diharap dapat melihat keperluan mewujudkan modul atau program kesedaran berkaitan gempa bumi dalam kokurikulu­m pendidikan di peringkat sekolah di negara ini, khususnya di Sabah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, ia penting bagi mengurangk­an panik dalam kalangan rakyat jika bencana itu berlaku, selain memberi pengetahua­n berkaitan tindakan perlu diambil jika gempa bumi berlaku.

“Ketika saya menjadi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dulu, saya minta bomba mengadakan program kesedaran di sekolah cara mencegah kebakaran.

“Justeru, sudah tiba masa kerajaan memulakan program kesedaran berkaitan tindakan atau reaksi perlu dibuat jika gempa bumi berlaku, misalnya di mana tempat selamat untuk berlindung jika di rumah. Ini bagi memastikan rakyat tidak panik dalam menghadapi bencana ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tebobon, di sini semalam.

Turut hadir, Pengetua SMK Tebobon, Ajmal Jumah dan Yang Dipertua PIBG SMK Tebobon, Taidin Suhaimin.

Sementara itu, Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Kota Belud berkata, beliau sudah meminta Pejabat Daerah Kota Belud untuk melakukan siasatan jika ada bangunan terutama sekolah yang rosak susulan gempa bumi baru-baru ini.

“Kini mereka masih melakukan pemeriksaa­n dan jika ada keperluan untuk membaiki (kerosakan) kita akan salurkan bantuan yang diperlukan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia