Main harung ikut suka
Adie Suri Zulkefli, Petah Wazzan Iskandar, Muhaamad Hafis Nawawi, Suzalina Halid dan Nor Farhani Che Ad
Ramai pasangan dikesan bernikah dengan saksi yang tidak mencukupi dan tempat bermastautin wali tidak melebihi dua marhalah atau melebihi 92 kilometer.
Itu antara situasi dihadapi pasangan yang bernikah di selatan Thailand dan gagal mendaftarkan perkahwinan mereka di negara ini berikutan kurang kesedaran mengenai undang-undang selain terpedaya dengan sindiket.
Presiden Persatuan Urusetia Menangani Gejala Sosial (UNGGAS) Malaysia, Kamaruddin Kassim berkata, kebanyakan pasangan yang berkahwin di negara jiran gagal mendaftarkan pernikahan mereka apabila siasatan mendapati mereka berkahwin tanpa mengikut undang-undang syarak.
Menurutnya, ada pasangan bernikah dengan saksi tidak mencukupi selain wali berada tidak melebihi 92 kilometer.
“Apabila disoal di mahkamah mereka tidak dapat memberi jawapan yang betul menyebabkan pernikahan itu tidak dapat didaftarkan.
“Saya pernah menerima satu kes di mana satu pasangan berkahwin di Songkhla, Thailand namun apabila ingin didaftarkan di sini timbul isu selepas siasatan mendapati tempat bermastautin wali tidak melebihi dua marhalah.
“Jurunikah di sana beranggapan wali wanita terbabit berada di Sungai Petani berdasarkan alamatnya, namun sebenarnya wali itu berada di Changlun menyebabkan perkahwinan itu tidak sah dari segi syarak,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau mengulas mengenai Program Pemutihan Nikah Rentas Sempadan yang dianjurkan selama enam bulan sehingga September ini oleh kerajaan Kedah.
Kamaruddin berkata, selain itu ada juga yang terpedaya dengan sindiket yang membawa masuk ke negara jiran itu tanpa dokumen perjalanan.
“Apabila tiada salinan pasport keluar dan masuk serta Surat Pengesahan Dokumen daripada Konsulat atau Kedutaan Malaysia di negara berkenaan menyebabkan akhirnya pernikahan ini sukar didaftarkan.
“Sepanjang pengetahuan saya, ribuan rakyat kita yang bernikah di negara jiran itu menghadapi masalah untuk mendaftar di sini apabila tidak mengikut undang-undang syarak selain dokumen tidak lengkap,” katanya.