Bapa bimbang anak dilarikan ke luar negara
Petaling Jaya: Bapa kepada dua beradik yang diambil ibu kandung mereka dari sebuah tadika di Seksyen 16, Khamis lalu, bimbang anaknya dilarikan ke luar negara oleh bekas isterinya.
Mohd Saleem Mohd Haslam, 31, berkata jika benar anaknya Raheel Khan, 6, dan Aleeya Reyhana, 4, dilarikan bekas isterinya yang juga warga New Zealand, perkara itu amat ditakutinya berikutan tidak pernah berhubung dengan wanita berkenaan selepas mereka berpisah.
“Selepas saya mendapat hak jagaan (anak), kami putus hubungan. Bekas isteri tidak pernah menghubungi saya dan anak, sekarang saya risau jika dia cuba membawa anak keluar dari negara ini,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Lelaki yang bekerja di syarikat keselamatan itu mendakwa, anaknya pernah didera ketika berada dalam jagaan bekas isterinya.
“Dua beradik itu berada dalam bahaya jika benar individu melarikan mereka adalah bekas isteri.
“Anak pernah bercerita, mereka pernah dibuli, dikurung dan dicekik oleh teman lelaki bekas isteri, seorang warga Kazakhstan dikenali sebagai Baba ketika tinggal bersama mereka semasa kami dalam proses perceraian tahun lalu,” dakwanya.
Dalam pada itu, Mohd Saleem turut meluahkan kekecewaan terhadap kecuaian pihak tadika yang tidak memaklumkan kepadanya sebelum membenarkan Raheel Khan dan Aleeya Reyhana keluar.
“Saya sudah memaklumkan kepada pihak tadika sebelum ini, hanya saya dan keluarga saya saja dibenarkan mengambil mereka, kecuaian mereka menyebabkan anak saya hilang.
“Saya dapat rasakan anak sedang menangis ingin pulang ke pangkuan saya,” katanya.