Soon Huat-Shevon tekad bukti kecemerlangan
Kuala Lumpur: Gandingan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jamie mahu membuktikan status sebagai beregu campuran nombor satu Malaysia bukan sekadar nasib dengan berjanji akan terus menghasilkan keputusan yang positif.
Kelmarin, Soon Huat-Shevon merangkul gelaran ketiga di pentas antarabangsa sejak digandingkan pada 2016 apabila muncul juara Terbuka Jerman di Mulheim.
Juara kebangsaan itu melakar kemenangan ke atas pasangan Denmark, Niclas Nohr-Sara Thygesen 21-14, 22-20 dalam aksi final.
Kejayaan itu menyaksikan Soon Huat-Shevon akan merampas status beregu campuran nombor satu negara daripada rakan sepasukan, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing menerusi kedudukan ranking dunia yang akan dikemas kini minggu ini.
“Saya tahu kami dipilih beraksi pada Sukan Komanwel dan perkara itu sebenarnya meningkatkan lagi motivasi kami.
“Saya tidak kisah pun siapa bergelar beregu campuran nombor satu Malaysia kerana kami berjuang untuk negara. Kedudukan ranking dunia yang lebih baik mungkin akan memberi kelebihan kepada kami tetapi menjadi beregu campuran nombor satu Malaysia bukan sasaran utama kami.
“Saya gembira kerana kerja keras kami selama ini berbaloi dan kami mahu mengekalkan rentak ini untuk tempoh yang panjang,” kata Shevon ketika dihubungi.
Pasangan nombor 10 dunia itu selepas ini akan membuat penampilan pertama pada saingan Seluruh England di Birmingham yang bermula Rabu ini.
Mereka akan membuka tirai saingan menentang pasangan suami isteri dari England, Chris-Gabrielle Adcock.