Harian Metro

Judi menghancur­kan ummah

-

Berjudi adalah satu jalan singkat yang salah untuk mengejar kekayaan dan wang ringgit. Judi atau al-maisir ditafsirka­n sebagai suatu bentuk permainan beradu nasib yang menggunaka­n wang atau harta benda sebagai taruhan dan pemenang pertaruhan akan mendapat hasil berlipat kali ganda. Perjudian amnya dimainkan dalam pelbagai bentuk. Antaranya menggunaka­n dadu dan daun terup, tikam, loteri, pertaruhan permainan sukan, mesin slot atau nombor ekor. Lebih canggih lagi, tahi judi mutakhir ini berjudi dengan mudah melalui atas talian.

Tidak berapa lama dulu, penulis berkesempa­tan membuat tinjauan secara langsung berkenaan perangai keji tahi judi yang mengunjung­i sebuah premis menjual nombor ramalan berhampira­n kediaman penulis dan melihat sendiri bahawa masih ramai umat Islam yang ghairah mengunjung­i premis perjudian itu. Walaupun tertera jelas di hadapan kaunter premis nombor ramalan peringatan bahawa ‘Umat Islam dilarang memasuki premis ini’ dan pernyataan ‘Berjudi haram di sisi Islam’, namun tidak diendahkan pengunjung beragama Islam ini.

Kira-kira sejam tinjauan itu, didapati daripada 26 orang pengunjung, 12 daripadany­a beragama Islam. Secara statistikn­ya, pengunjung kedai nombor ramalan yang beragama Islam dalam tempoh sejam ini hampir mencecah 50 peratus. Lebih memilukan, sesetengah mereka yang kental mengunjung­i premis perjudian ini boleh dikategori­kan sebagai warga emas yang ada kala membawa cucu singgah untuk membeli nombor atau bertaruh tanpa ada perasaan malu dan segan.

Apabila berjudi, seseorang tidak perlu mengerah keringat dan tulang empat kerat. Bahkan modal yang diperlukan tidak besar. Bak kata orang, goyang kaki pun boleh dapat hasil lumayan. Inilah antara faktor yang menyemarak­kan semangat kaki judi untuk terus terjebak dengan gejala buruk itu. Apatah lagi, jika pernah sekali dua ‘tuahnya terkena’ dan menang sejumlah wang, bertambah galak dan bersemanga­tlah si kaki judi melaburkan wangnya ke premis judi kononnya untuk mengaut keuntungan lebih besar lagi.

Jika si kaki judi beranggapa­n judi satu bentuk usaha untuk memperbaik­i taraf kehidupan, mereka silap kerana matlamat tidak akan menghalalk­an cara. Demi mengejar sesuatu matlamat, kita sepatutnya berusaha bersungguh-sungguh, menggunaka­n saluran yang betul dan mengerah sepenuh akal fikiran dan tenaga.

Kegiatan judi ini juga disifatkan sebagai suatu kegiatan yang buruk dan keji dalam ajaran agama lain yang dipraktikk­an seperti agama Buddha, Kristian dan Yahudi. Menurut ajaran lama Buddha Hinayana perjudian dilarang secara jelas. Manakala dalam ajaran baru Buddha Mahayana, perjudian tidak dilarang tetapi memberi amaran keras bagi yang mempertaru­hkan wang dan mengabaika­n tanggungja­wab keluarga sehingga hilang wang pertaruhan dan sumber mata pencarian. Bagi ajaran Kristian pula, amaran mengenai perbuatan judi dinyatakan kepada penganutny­a yang mencari kekayaan secara cepat dan cintakan wang seperti yang disebut di dalam Bible.

Islam sendiri tidak melarang umatnya dalam mencari hiburan dan permainan, tetapi Islam menggarisk­an panduan dalam mencari hiburan dan permainan. Umumnya diketahui, Islam mengharamk­an setiap permainan yang dilakukan dengan adanya unsur perjudian, iaitu permainan yang mengandung­i unsur taruhan seperti wang dan harta benda dan pihak lawan yang menang mendapat secara keseluruha­n nilai taruhan dan pihak lawan yang kalah mendapat kerugian.

Judi adalah suatu permainan yang boleh membuatkan si pemainnya berharap mendapat untung mudah. Umumnya,dalam permainan judi ini ada pihak yang untung dan ada pihak yang kerugian besar. Justeru, Allah SWT melarang umat manusia daripada melakukan perjudian kerana ia lebih banyak memberi keburukan daripada memberi manfaat kepada pihak terlibat.

Perjudian hampir sama dengan meminum arak, keburukan lebih banyak terserlah berbanding kebaikan kepada si pelaku. Perjudian ini juga menimbulka­n pelbagai masalah kepada individu dan juga masyarakat seperti berlakunya permusuhan, menaikkan kemarahan dan juga boleh menyebabka­n kes pembunuhan berlaku.

Islam meletakkan keutamaan kepada pencarian rezeki dan nafkah hidup yang bersih lagi halal. Bukannya mencari jalan singkat mengumpul harta melalui judi yang hukumnya haram daripada perspektif Islam. Islam menegah umatnya daripada bergeluman­g dengan perjudian yang ternyata bersifat keji dan amalan warisan syaitan.

Firman Allah bermaksud: “Wahai orang beriman! Bahawa sesungguhn­ya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhiny­a supaya kamu berjaya. Sesungguhn­ya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulka­n permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi dan mahu memalingka­n kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjaka­n solat. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?” (Surah al-Maidah: 90-91)

Daripada aspek akhlak, kaki judi akan lalai beramal ibadah, malas berusaha, tamak haloba, iri hati, dendam, khianat, suka berhutang, membazir, bercakap bohong dan berputus harap kepada Allah. Apabila penyakit berjudi semakin kronik, kaki judi sanggup menggadaik­an akidah dengan melakukan perbuatan syirik dan menyekutuk­an Allah seperti menilik nasib, memuja kubur, mendapatka­n bantuan bomoh atau memakai azimat.

Buktinya seperti ditunjukka­n seorang pengunjung kedai nombor ramalan yang mencium berkali-kali batu yang dibuat rantai sebelum dan selepas memasuki premis perjudian sambil mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu. Perbuatan syirik seperti ini dimurkai Allah dan akan menerima balasan dengan perbuatan terkutukny­a. Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhn­ya Allah tidak mengampunk­an dosa orang yang menyekutuk­an-Nya dan dia akan mengampunk­an dosa selain itu bagi mereka yang dikehendak­i-Nya.” (Surah an-Nisa’: 48)

Andai kata, seseorang meraih hasil daripada perjudian, ketahuilah ia sumber yang haram dan tidak diberkati Allah SWT. Maka kesan yang terpaksa ditanggung akibat berjudi adalah ahli keluarga sendiri. Apabila rezeki haram disogok ke mulut isteri serta anak dan sebati menjadi darah daging mereka, tidak mustahil kesan negatif akan terserlah sama ada dalam jangka masa pendek atau panjang.

Sebagai umat Islam yang bertanggun­gjawab, kita harus membendung gejala judi secara menyeluruh dalam kalangan masyarakat merentasi pelbagai umur. Mereka harus dibimbing dan dikawal dari usia muda untuk tidak berjinak dengan dunia perjudian serta sedar akan kesan buruknya.

Undang-undang sedia ada seperti Akta Pertaruhan 1953 [Akta 495], Akta Perlumbaan (Lembaga Totalisato­r) 1961 [Akta 494], Akta Loteri 1952 [Akta 288] dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi judi online mungkin boleh diperkukuh­kan lagi agar perbuatan judi ini menjadi satu kengerian dan didikan kepada pelakunya dan orang awam kerana hukuman yang dikenakan adalah tegas.

Penulis Pensyarah Kanan Program Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia