Harian Metro

‘Saya tetap tak restu’

- Sudirman Mohd Tahir sudirman@hmetro.com.my

Kemelut membabitka­n hubungan pelakon veteran Zainol Macwilson dan Zul Ariffin seakan-akan tiada kesudahan.

Zainol, 58, sebelum ini mengakui tidak merestui hubungan bintang bertubuh sasa itu dengan anaknya yang juga pelakon, Zahirah Macwilson tetap bertegas dengan pendirian itu.

Zainol berkata, dia tidak suka sekiranya ada orang sekeliling bertanya bilakah pasangan itu akan berkahwin.

“Saya tahu mereka masih berkawan. Namun, ingin ditegaskan saya tetap tidak merestui hubungan mereka.

Sebagai bapa, saya ada sebab dan alasan tersendiri kenapa buat keputusan ini. Sudah semestinya saya inginkan yang terbaik untuk anak terutama dalam soal kebahagiaa­n.

“Zul perlu terima hakikat kalau saya tidak suka maka tidak sukalah jawabnya. Biarlah semua orang tahu perkara ini. Jadi, selepas ini saya tidak mahu lagi dengar orang bertanya bila saya nak buat kenduri kahwin untuk anak,” katanya.

Zainol berkongsi, baru-baru ini Zahirah menghubung­inya untuk bertanya khabar sebelum telefon itu diserahkan kepada Zul.

Bagaimanap­un, perbualan itu bertukar dingin apabila terdapat beberapa persoalan dibangkitk­an Zul yang dianggap tidak masuk akal.

“Kalau ‘gentlemen’ sepatutnya dia menghubung­i saya sendiri dan bukannya melalui anak saya. Menerusi perbualan kami, dia menyatakan rasa tidak senang hati dengan kenyataan saya sebelum ini.

“Namun, saya menjelaska­n perkara berkenaan adalah maklum balas daripada kenyataann­ya tahun lalu yang menyifatka­n saya tidak matang dalam masalah ini. Malah, dia juga mempersoal­kan kenapa saya perlu dengar cakap orang.

“Sedangkan perkara ini dia cakap sendiri dan buktinya boleh tengok di kebanyakan laporan media. Cukup untuk saya katakan, nak berkawan dengan anak saya boleh tapi tidak lebih daripada itu,” katanya.

Menurut Zainol, anaknya sedia maklum dia tidak menyukai Zul malah jauh sekali merestui perhubunga­n itu.

“Zahirah tahu saya tidak sukakan Zul sejak dahulu lagi. Selagi saya masih hidup, saya memang tidak restu. Kalau nak tahu, Zul sudah menunjukka­n persepsi negatif dalam keluarga kami sejak saya masih bersama mak Zahirah lagi.

“Kalau boleh saya tidak mahu Zahirah menjalin hubungan dengan manamana pelakon. Cuma, memandangk­an dia masih memilih untuk bersama

Zul, saya sudah tidak mahu campur. Buatlah apa yang mereka inginkan.

“Hubungan saya dengan Zahirah masih okey, tetapi saya sedih apabila dia tidak mahu dengar cakap,” katanya.

Kecewa produksi filem Badang

Pada masa sama, Zainol meluahkan rasa kecewa terhadap produksi filem Badang yang tidak menunaikan janji ketika menawarkan diri membintang­i filem itu.

“Dua tahun lalu, penolong pengarah menawarkan saya watak bapa Badang. Dari awal lagi saya dimaklumka­n bayaran tidak mahal kerana ia projek bersama pelajar. Saya okey dan tidak ada masalah.

“Selepas bersetuju dan menandatan­gani kontrak, filem ini belum menjalani penggambar­an dengan alasan kostum Badang belum siap. Saya pun tunggu sehingga akhirnya dapat tahu filem ini sudah ditayangka­n.

“Namun, saya dapat tahu filem ini rugi dan tidak mendapat sambutan. Mungkin ini balasan Allah kepada produksi berkenaan. Ketika itu saya sangat berharap dapat berlakon filem ini kerana ingin menggunaka­n duit bagi membuat persiapan kahwin. Kalau tidak jadi panggil saya berlakon, sepatutnya beritahu dan bukan biarkan saya tertunggu-tunggu,” katanya.

Mengenai kerjaya lakonan, Zainol bakal muncul dalam drama Tak Ada Cinta Sepertimu yang sudah menemui penonton di saluran Astro 12 Mac lalu.

Menariknya, Zainol melakonkan watak bapa kepada Zahirah yang juga bintang utama drama itu.

“Saya terima tawaran ini kerana Zahirah yang buat permintaan. Bagi saya, lebih mudah menjiwai watak ini kerana ia banyak bermain dengan emosi. Setiap adegan nangis, ia lahir daripada hati.

“Saya kaitkan dengan kehidupan sendiri dan apa yang dilalui sekarang. Dalam erti kata lain, saya dan Zahirah saling ‘memberi’ dalam drama ini. Naluri bapa dan anak sangat kuat membuatkan setiap adegan nampak semula jadi,” katanya yang sudah kali kedua berlakon dengan anak sendiri.

Selain itu, Zainol juga bakal terbabit dengan penggambar­an drama Nafas terbitan OrangeTree untuk tayangan ntv7.

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ?? ZAINOL dan Zahirah dalam drama Tak Ada Cinta Sepertimu
ZAINOL dan Zahirah dalam drama Tak Ada Cinta Sepertimu

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia