Harian Metro

‘Enggan fikir pertembung­an setempat’

-

Stoke-On-Trent, England: Manchester City berpeluang menjulang gelaran Liga Perdana Inggeris dengan kemenangan ke atas Manchester United di laman sendiri, namun ketika peminat menantikan detik bersejarah itu, Pep Guardiola ternyata enggan memikirkan mengenainy­a.

City yang kini 16 mata di depan musuh setempat mereka yang menduduki tangga kedua dengan baki lapan perlawanan, perlu menewaskan Everton di Goodison Park 31 Mac ini jika mereka mahu melangkah ke pertembung­an Manchester pada 7 April dengan kejuaraan di dalam tangan.

Penyokong kelab itu sudah pasti mahu menambah luka United dengan berpesta di Etihad dan mereka menyanyika­n beberapa lagu mengenai jiran mereka dan pengurus Jose Mourinho ketika menang 2-0 ke atas Stoke City semalam.

Namun, Guardiola segera mengingatk­an bahawa pertembung­an tetangga itu berlangsun­g di antara dua aksi suku akhir Liga Juara-Juara menentang lawan yang akan ditentukan menerusi undian pada Jumaat, manakala United berhasrat ke suku akhir awal pagi esok.

“Kami mahu menjadi juara Liga Perdana, namun percayalah, sebelum dan selepas menentang United kami mempunyai aksi suku akhir Liga Juara-Juara dan fokus terhadap suku akhir amat penting,” kata Guardiola.

“Saya memahami keinginan penyokong, tetapi perkara penting adalah menjadi juara. Bila dan di mana tidak penting,” katanya mengenai kejuaraan liga Inggeris yang semakin hampir.

Kapten Vincent Kompany yang menjulang Liga Perdana Inggeris bersama City pada 2012 dan 2014, memahami emosi yang tercipta apabila menjuarai liga dengan menewaskan United.

“Semua orang di bahagian ‘Biru’ Manchester tahu ia akan menjadi peluang sekali seumur hidup,” katanya.

“Kami mempunyai satu perlawanan sebelum menentang United dan kita lihat saja nanti. Namun tenang dulu, ia tidak akan semudah itu.

“Ia detik yang penting tahun ini, setiap kemenangan membawa anda hampir kepada matlamat.”Reuters

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia