Harian Metro

DERA ANAK SAUDARA

- Sarah Zulkifli news@nstp.com.my

Ibu dalam pantang tidak mengaku salah

Seorang suri rumah yang masih dalam pantang selepas bersalin didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan mendera anak saudara lelakinya berusia 10 tahun sehingga lebam dan berbirat di seluruh badan, menggunaka­n wayar sambungan elektrik, minggu lalu.

Tertuduh, Norazatul Akmal Zakaria, 35, bagaimanap­un mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadapny­a dibacakan di depan Hakim Datin Surita Budin.

Mengikut pertuduhan, ibu dua anak itu didakwa sebagai seorang yang mempunyai pemelihara­an terhadap anak saudaranya yang berusia 10 tahun 10 bulan melakukan penganiaya­an terhadap mangsa dengan cara yang mungkin menyebabka­n kecederaan fizikal atau emosi kanak-kanak itu di sebuah rumah di Hill Park 2 di sini, jam 7.30 pagi, 8 Mac lalu.

Dakwaan kes dikemukaka­n mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntu­kkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya.

Pada masa sama, sebagai tambahan kepada apa-apa hukuman yang dinyatakan dalam subseksyen (1) memerintah­kan supaya orang yang disabitkan atas suatu kesalahan menyempurn­akan suatu bon dengan penjamin untuk berkelakua­n baik selama apa-apa tempoh yang difikirkan patut oleh mahkamah dan khidmat masyarakat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Noorhafiza­n Zakaria mencadangk­an jumlah jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan keluargany­a sehingga kes selesai.

Bagaimanap­un, tertuduh yang diwakili peguam P Gunalan memohon jumlah jaminan itu dikurangka­n dengan alasan tertuduh tidak bekerja selain bayi keduanya baru berusia tiga bulan dan tertuduh pula masih dalam pantang.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Surita membenarka­n tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Mahkamah kemudian menetapkan 16 April ini untuk sebutan semula kes.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia