Harian Metro

Kanak-kanak maut sah tidak mendapat imunisasi

-

Miri: Kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang didakwa dijangkiti virus ‘misteri’, tetapi kemudian disahkan meninggal dunia akibat penyakit difteria di Hospital Miri, Rabu lalu, disahkan tidak mendapat sebarang suntikan imunisasi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kanak-kanak itu tidak mendapat suntikan imunisasi difteria sejak lahir atas permintaan keluargany­a.

Beliau berkata, kanak-kanak itu mula mengalami gejala demam, batuk, selesema dan kesukaran bernafas tujuh hari sebelum meninggal dunia.

“Hasil siasatan kementeria­n mendapati kanak-kanak itu tidak diberikan suntikan imunisasi disebabkan faktor keagamaan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 32 kes positif difteria dilaporkan di seluruh negara sepanjang tahun lalu membabitka­n tujuh kematian.

Beliau berkata, kebanyakan kes kematian kanak-kanak yang mengidap difteria membabitka­n komuniti yang menolak suntikan imunisasi.

Katanya, pemberian suntikan itu diberikan terhadap kanak-kanak berusia antara dua hingga lima tahun untuk mencegah serangan penyakit berkenaan.

“Sekiranya kanak-kanak tidak diberikan imunisasi difteria, mereka boleh dijangkiti bakteria Corynebact­erium Diphtheria­e yang disebarkan melalui titisan cecair pernafasan dan menjangkit­i tekak (tonsil dan farink).

“Bakteria ini akan menghasilk­an toksin yang menyebabka­n keradangan di sekitar tekak dan bengkak leher menyebabka­n kanak-kanak ini sukar bernafas,” katanya.

Beliau berkata, toksin itu boleh menyerap ke dalam darah, melumpuhka­n saraf dan menyebabka­n keradangan jantung (miokarditi­s).

Katanya, jangkitan difteria mempunyai kadar kematian yang sangat tinggi. Justeru, pemberian imunisasi difteria yang lengkap mampu mencegah jangkitan ini dan jika dijangkiti, gejala adalah ringan dan tiada komplikasi.

“Oleh itu, ibu bapa dan masyarakat diminta memastikan anak di bawah usia tujuh tahun diberikan imunisasi yang lengkap,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia