Harian Metro

Dhaarma gusar persiapan anak buah

- Saiful Affendy Sapran saifulaffe­ndy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Di sebalik kejayaan mencatat tiga kemenangan daripada empat perlawanan persahabat­an dengan skuad bawah 21 tahun Jepun, ketua jurulatih skuad hoki wanita negara, Dhaarma Raj Abdullah tetap kurang senang dengan persiapan anak buahnya ke Sukan Komanwel Gold Coast, bulan depan.

Jelas Dhaarma, kelemahan ketara yang dilihat daripada empat perlawanan itu adalah barisan pemainnya gagal memanfaatk­an deretan peluang menjaringk­an gol baik menerusi jaringan padang mahupun pukulan sudut penalti.

“Ceritanya tetap sama seperti sebelum ini apabila pemain mencipta banyak peluang tetapi gagal untuk menjaringk­an gol.

“Jadi bagi saya ia agak membazir sedangkan hakikatnya kami beraksi jauh lebih baik berbanding lawan.

“Contoh terbaik pada perlawanan persahabat­an terakhir dengan Jepun apabila kami memperoleh peluang yang tidak terkira banyaknya berbanding lawan tapi hanya menang 2-1. Gol tunggal Jepun itu pun melalui serangan balas saja,” katanya.

Justeru itu, Dhaarma berharap dapat mencari jalan penyelesai­an terbaik ketika persiapan untuk ke Gold Coast semakin suntuk.

Skuad negara menang 3-1, 4-1 dan 2-1 ke atas skuad B-21 Jepun dan hanya tewas sekali saja pada perlawanan pertama 1-3.

Pada saingan di Gold Coast, skuad negara diundi dalam Kumpulan A bersama England, India, Afrika Selatan dan Wales.

 ??  ?? DHAARMA (tengah) mengendali latihan skuad hoki wanita di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.
DHAARMA (tengah) mengendali latihan skuad hoki wanita di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia