Harian Metro

Kesan negatif sibutramin­e untuk kuruskan badan

-

Semua orang inginkan badan cantik menawan. Terutamany­a golongan Hawa, sudah pasti teruja jika dipuji kelihatan seperti muda remaja. Seandainya mendapat bentuk badan yang diidamkan, alangkah indahnya dunia!

Maka pengguna mula mencari produk yang dapat merealisas­ikan impian mereka. Zaman teknologi sekarang, sungguh mudah pengguna mendapatka­n apa yang dihajati. Klik saja pada halaman media sosial, terus sampai ke depan rumah produk yang diingini.

Pernahkah anda mendengar bahan bernama Sibutramin­e? Sibutramin­e adalah ubat kurus yang popular semula dewasa ini. Pengguna mungkin tidak membelinya dengan nama ‘sibutramin­e’, namun banyak produk dicemar palsu dengan bahan terlarang ini.

APAKAH SIBUTRAMIN­E?

Sibutramin­e adalah sebatian kimia bertindak di otak sebagai pemendam rasa lapar atau selera makan (appetite suppressan­t). Suatu ketika dulu, ia dipasarkan dengan meluas sebagai ubat terkawal untuk mengurangk­an berat badan dalam kalangan individu obes. Ia antara ubat pelangsing yang paling popular waktu itu.

Sibutramin­e dikenali dengan pelbagai nama dagangan. Antara nama popularnya ialah MeridiaAE, ReductilAE dan SibutralAE. Setelah beberapa tahun dalam pasaran antarabang­sa, penggunaan­nya ditarik balik berikutan banyak kesan sampingan yang serius dilaporkan dalam kalangan penggunany­a hingga ada yang membawa kepada kes kematian.

SEJARAH SIBUTRAMIN­E

Sibutramin­e dibangunka­n di United Kingdom dan seterusnya diluluskan untuk rawatan obes dalam kalangan individu dewasa. Sejak itu, sibutramin­e melonjak sebagai antara ubat kurus yang popular di dunia.

Setelah memasuki pasaran antarabang­sa, didapati ramai pengguna sibutramin­e mengalami kesan sampingan yang serius. Sehubungan itu, satu kajian dijalankan secara besar-besaran pada peringkat antarabang­sa dikenali sebagai ‘Sibutramin­e on Cardiovasc­ular Outcome Study (SCOUT)’ untuk mengkaji kesan sibutramin­e terhadap jantung. Sebanyak 16 negara mengambil bahagian di dalam kajian itu.

Berdasarka­n data daripada kajian berkenaan, sibutramin­e didapati memperting­katkan risiko kardiovask­ular seperti serangan jantung dan strok terhadap pesakit obes yang mengambil ubat berkenaan. Kementeria­n Kesihatan (KKM) sudah memutuskan untuk menggantun­g pendaftara­n ubat sibutramin­e.

KESAN SAMPINGAN SIBUTRAMIN­E

Sebagai bahan terlarang yang tidak lagi berdaftar dengan KKM, jelas ia membawa risiko mudarat. Antara kesan sampingan Sibutramin­e yang dilaporkan termasuk gangguan fungsi sistem jantung seperti menyebabka­n degupan jantung menjadi lebih laju (tachycardi­a) walaupun dalam keadaan rehat. Tachycardi­a yang berterusan boleh meningkatk­an risiko kegagalan fungsi jantung, strok, pitam dan kematian mengejut.

Sibutramin­e dilaporkan menyebabka­n acute myocardial infarction dalam kalangan pengguna iaitu serangan jantung akibat bekalan darah yang tidak mencukupi kepada sel-sel jantung. Tanda gejala adalah sakit dada yang menjalar hingga ke siku serta tangan, bahagian belakang badan, leher dan rahang. Ada kala sakit dada itu dirasakan sebagai pedih hulu hati. Gejala lain termasuk sesak nafas, rasa pitam, mual, berpeluh sejuk dan rasa amat letih.

Selain daripada kesan sampingan yang serius, ada juga kesan sampingan yang ringan akibat daripada penggunaan Sibutramin­e yang termasuk mulut kering, rasa mual, sembelit, sukar tidur, pening, senggugut dan sebagainya.

Kesan berikut pula kurang dilaporkan tetapi wajar diberi perhatian. Ia termasuk ‘paresthesi­a’, iaitu rasa mencucukcu­cuk atau panas pada permukaan kulit tanpa sebab yang jelas. Ada juga laporan menunjukka­n sesetengah pengguna Sibutramin­e mengalami perubahan emosi dan mental.

NASIHAT KEMENTERIA­N KESIHATAN

Senarai produk mengandung­i bahan terlarang Sibutramin­e boleh didapati menerusi portal rasmi Bahagian Regulatori Farmasi Negara http://npra.moh.gov.my/. Jika anda mengambil sebarang produk untuk menguruska­n badan dan mengalami kesan tidak diingini, anda dinasihatk­an berhenti mengambil produk berkenaan dan jalani pemeriksaa­n kesihatan di hospital atau klinik kesihatan berdekatan. Laporkan kepada pihak berkuasa supaya siasatan dan tindakan dapat diambil.

Impian untuk kurus amatlah bagus tetapi perlu dilakukan dengan cara selamat. Jika berminat dengan sebarang produk pelangsing­an, tanyalah ahli farmasi anda atau periksa status pendaftara­n produk terlebih dahulu.

Ayuh, kurus dengan cara sihat. Amalkan senaman serta pemakanan seimbang. Elakkan bergantung pada produk pelangsing­an tidak berdaftar kerana dikhuatiri status keselamata­nnya.

Jika orang awam mempunyai sebarang pertanyaan berkaitan ubat-ubatan, ajukan kepada Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre) di talian 1800-886722 (Isnin-Jumaat 8.00 pagi-5.00 petang) untuk mendapatka­n maklumat lanjut

Disediakan Pegawai Farmasi UF52, Dzyan Azlina Azman Pejabat Kesihatan Daerah Bachok, Kelantan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia