Harian Metro

80 peratus atlet sudah jalani ujian doping

- Aida Adilah Mat aida_adilah@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) mengesahka­n lebih 80 peratus atlet yang akan beraksi pada Sukan Komanwel di Gold Coast, bulan depan sudah melakukan ujian doping termasuk lapan atlet olahraga yang menjadi kumpulan terakhir, kelmarin.

Penolong Pengarah ADAMAS, Nishel Kumar berkata, pihaknya kini sudah menghentik­an ujian berkenaan kerana ia dilakukan secara menyeluruh termasuk atlet yang beraksi dalam acara berpasukan seperti bola keranjang.

“Setakat ini seramai 108 atlet sudah melakukan ujian dan boleh dikatakan ia dilakukan secara menyeluruh.

“Ujian tidak akan dilakukan terhadap semua atlet. Bagi acara berpasukan kami hanya memilih beberapa atlet manakala atlet yang berada di luar negara akan diuji oleh persatuan mereka.

“Sebagai contoh seperti Nauraj Singh dan Lee Hup Wei saya tidak bimbang sebab mereka dalam radar IAAF (Persekutua­n Olahraga Antarabang­sa) dan ujian doping pasti akan dilakukan selepas mereka terbabit dengan mana-mana pertanding­an,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih olahraga negara, Zainal Abas mengesahka­n lapan atlet olahraga menjalani ujian doping yang dilakukan secara mengejut oleh ADAMAS, kelmarin.

Menurutnya, lima atlet yang tidak melakukan ujian itu ialah Nauraj, Hup Wei, Jackie Wong, Irfan Shamsuddin dan Rayzam Syah Wan Sofian kerana masing-masing tidak berada di ibu negara.

“Ujian doping yang dilakukan secara mengejut itu sebagai persediaan awal untuk menghadapi temasya Komanwel.

“Dua atlet lompat tinggi, Nauraj dan Hup Wei yang kini berada di Australia juga akan diuji,” katanya yang memaklumka­n Jackie kini berada Perlis, Irfan di Negeri Sembilan dan Rayzam di Kota Kinabalu.

Kata Zainal, Nauraj dan Hup Wei akan menyertai beberapa lagi pertanding­an di Australia sebelum temasya kedua terbesar dunia itu bermula dan ujian doping akan dilakukan di sana.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia