Harian Metro

Kecederaan tak jejas pecutan Khairul

-

Kuala Lumpur: Walaupun terpaksa berehat kira-kira enam bulan gara-gara kecederaan hamstring, Khairul Hafiz Jantan membuktika­n pecutannya tidak terjejas apabila mencatat masa 10.34 saat (s) ketika mengunggul­i acara 100 meter Kejohanan Olahraga All Comers FTKLAA, semalam.

Masa yang dicatatkan pada penampilan pertamanya selepas pulih di Stadium Mini MSN, Bukit Jalil itu juga menyamai catatan dilakukan ketika sesi saringan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), sekali gus mampu menjadi tonik terbaik buat Khairul menjelang Sukan Komanwel di Gold Coast, bulan depan.

“Alhamdulil­lah, hari ini (semalam) saya dapat merasai kembali perasaan berlari dalam acara 100m selepas kembali pulih daripada kecederaan dihadapi pada Sukan SEA lalu.

Malah, saya gembira kerana dapat kekalkan catatan masa 10.34s seperti dilakukan di saringan Sukan SEA.

“Ini adalah aksi pemanas badan dan saya yakin dapat melakukan yang lebih baik di Sukan Komanwel nanti,” kata Khairul yang terkenal dengan julukan ‘The Speedy Jantan’.

Pingat perak diraih Muhammad Zulfiqar Ismail dari Sekolah Sukan Tunku Mahkota Johor (SSTMI) dengan mencatat kepantasan 10.46s, manakala gangsa milik seorang lagi atlet SSTMI, Muhammad Haiqal Hanafi (10.47s).

Mengulas lanjut, Khairul yang memenangi emas di KL2017 dengan mencatat masa 10.38s berharap mara ke final di Gold Coast.

“Saya juga berharap dapat memperbaha­rui rekod kebangsaan 10.18s yang dicipta di Sukan Malaysia (SUKMA) 2016 pada temasya kedua terbesar dunia itu nanti. Jadi, saya akan manfaatkan masa yang tinggal untuk meningkatk­an lagi prestasi saya,” kata atlet kelahiran Melaka itu.

Temasya Gold Coast akan bermula dari 4 hingga 15 April depan.

 ??  ?? KHAIRUL Hafiz (tengah) menjuarai acara 100 meter akhir lelaki pada Kejohanan Olahraga All Comers FTKLLA / MILO 2018 di Trek MSN, Bukit Jalil, semalam.
KHAIRUL Hafiz (tengah) menjuarai acara 100 meter akhir lelaki pada Kejohanan Olahraga All Comers FTKLLA / MILO 2018 di Trek MSN, Bukit Jalil, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia