Harian Metro

Bot nelayan ditemui di sempadan Kemboja

-

Tumpat: Selepas lebih 10 hari hilang, bot nelayan kelas C akhirnya ditemui berhampira­n sempadan Kemboja.

Bot milik warga tempatan yang hilang di Kompleks Persatuan Nelayan Semerak, Pasir Puteh pada 19 Februari lalu ditemui pada jarak 370 batu nautika dari lokasi hilang oleh Polis Marin Diraja Thailand (PMDT) pada 1 Mac lalu.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Norzaid Muhammad Said berkata, bot itu dilarikan awak-awak warga Thailand dipercayai untuk dijual.

Beliau berkata, susulan kehilangan, gerakan mencari dilaksana dengan kerjasama PMDT sebelum dikesan di Wilayah Chantaburi, Thailand selepas 10 hari kehilangan.

“Kehilangan disedari pada 19 Februari dan sebelah petang, rakan pemilik bot memberitah­u ternampak bot berkenaan dipandu keluar oleh awak-awak.

“Laporan dibuat dua hari selepas itu dan hasil perkongsia­n maklumat dengan PMDT, ditemui 700 kilometer dari lokasi hilang,” katanya di Markas Operasi PPM Pengkalan Kubor di sini, semalam.

Norzaid berkata, memandangk­an lokasi penemuan berhampira­n sempadan Kemboja, pihaknya percaya ia untuk dijual kepada sindiket di negara itu.

Ketika bot ditemui, suspek yang berusia dalam lingkungan 40-an tiada di dalam bot dan bot berkenaan juga belum diubah suai sekali gus memudahkan proses pengecaman.

Norzaid menasihati pemilik bot dan nelayan yang hilang bot segera menghubung­i pihak berkuasa supaya proses pengesanan tidak mengambil masa lama.

Sementara itu pemilik bot, Mohd Faizam Abdullah, 40, berkata, bot yang dibeli dengan harga RM450,000 berpengkal­an di Pulau Duyong, Terengganu, diletakkan di Kompleks Persatuan Nelayan Semerak untuk dibaiki.

“Dalam tempoh seminggu hilang, saya sudah berputus asa dan merasakan bot itu berada di tangan pihak lain (dijual) kerana tiada tanda ia tenggelam di laut.

“Apabila dihubungi pihak berkuasa memberitah­u bot sudah ditemui, saya sangat terkejut dan terus hadir ke markas operasi PPM Pengkalan Kubor,” katanya sambil memberitah­u akan terus membawa pulang bot itu ke Terengganu untuk dibaiki.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia