Program PruBSN bantu warga miskin
Kuala Lumpur: Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN) melancarkan Microtakaful Jariyah, program pertama seumpamanya yang menyediakan perlindungan asas takaful keluarga bertempoh 12 bulan secara percuma kepada golongan miskin dan tegar.
Ketua Pegawai Eksekutif PruBSN, Nor Azman Zainal berkata, program ini dilaksanakan bertujuan membantu mengurangkan beban isi rumah yang mempunyai masalah kewangan.
“Golongan miskin ini menjadi kumpulan paling terjejas apabila ketua isi rumah ditimpa musibah berpunca tiada akses terhad kepada perkhidmatan kewangan.
“Dengan ada program ini, keluarga yang terbabit memperoleh akses bantuan kewangan dengan pantas untuk membantu mereka mengatasi masalah apabila ditimpa musibah.
“Kami faham betapa sukarnya keluarga berdepan masalah kewangan, malah kami gembira dapat membantu meringankan beban mereka,” katanya.
PruBSN Prihatin menerima kerjasama daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri bagi membantu mengenal pasti golongan miskin tegar dan miskin yang berdaftar dengan pangkalan data kemiskinan nasional eKasih.
Kata Azman, talian khas disediakan PruBSN Prihatin dan PruBSN bagi memudahkan penerima membuat pertanyaan mengenai program ini dan penama boleh memaklumkan sebarang tuntutan dengan mudah.
“Kami berbangga melancarkan program pertama sebegini di negara ini dan berharap golongan berpendapatan rendah bangkit semula meneruskan kehidupan,” katanya.