Harian Metro

Welson optimis buru impian di Gold Coast April depan

-

Kuala Lumpur: Berjaya melakar catatan masa terbaik peribadi ketika latihan memberi keyakinan buat perenang negara Welson Sim

memburu impian pada temasya Sukan Komanwel Gold Coast dari 4 hingga 15 April depan.

Biarpun sedar cabaran yang dihadapi termasuk berdepan juara dunia, Welson tetap tidak akan mengalah dan berusaha memastikan sekurang-kurangnya rekod kebangsaan berjaya dipecah.

Perenang dari Sarawak itu berkata, dia mahu memastikan berjaya mara ke perlumbaan akhir selain mahu

(gambar)

memburu catatan terbaik peribadi di Gold Coast.

“Fokus utama saya pada Komanwel kali ini adalah untuk memperbaik­i catatan terbaik peribadi dan memecahkan rekod kebangsaan.

“Selain itu saya juga mahu fokus kepada teknik. Ketika ini sesi latihan berjalan lancar dan berjaya membuat catatan terbaik peribadi dalam latihan dan itu satu perkembang­an bagus serta menyuntik keyakinan saya,” katanya.

Olimpian negara itu dijangka beraksi dalam empat acara iaitu 100m, 200m, 400m dan 1,500m namun meletakkan sasaran utama dalam memperbaik­i catatan terbaik peribadi dalam acara 200m dan 400m.

“Catatan terbaik saya dalam acara 200 adalah 1 minit 47.36s dan 400m 3:49.48s. Manakala dalam acara 100 dan 1,500m saya akan cuba melakukan yang terbaik kerana penyertaan dalam acara itu hanya untuk memastikan badan saya bersedia,” katanya yang sebelum ini turut beraksi pada Sukan Komanwel Glasgow 2014.

Skuad renang hanya akan membariska­n lima atlet terdiri daripada Welson, Chan Jie, Tern Jian Han, Keith Lim dan seorang atlet wanita tunggal, Caroline Chan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia