Harian Metro

Idris kecewa MU tumpas

- Nazri Abu Bakar sukanteam@nstp.com.my

Melaka: Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Datuk Seri Idris Haron kecewa atas kekalahan pasukan itu kepada Kuala Lumpur sehingga skuad berkenaan gagal melangkah ke suku akhir Piala FA.

Kesilapan strategi, katanya, antara punca skuad terbabit gagal mengambil kesempatan untuk memenangi perlawanan ketika barisan pelawat beraksi dengan 10 pemain bermula penghujung babak kedua.

Beliau berkata, walaupun mengasak hebat, namun strategi yang disusun gagal memecah kubu lawan, sebaliknya mereka kental bertahan untuk memastikan kedudukan terikat 1-1 diheret ke masa tambahan dan akhirnya membawa ke penentuan sepakan penalti.

“Sehubungan itu, saya mahu pengurusan pasukan dan barisan kejurulati­han meneliti semula semua aspek bagi memperkasa pasukan ini.

“Pastinya ia satu kerugian kerana pasukan gagal mengambil kesempatan di atas kekurangan pemain lawan yang seharusnya membolehka­n jaringan dilakukan. Saya harap situasi seperti ini tidak berulang dan taktikal yang betul perlu dilakukan untuk memastikan kesempatan sedemikian tidak berakhir dengan kekecewaan,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Liga Futsal Sukan Untuk Semua (LISUS) anjuran Jabatan Belia dan Sukan Melaka Tengah di Sungai Udang di sini, kelmarin.

Kuala Lumpur mara selepas tiga sepakan pemain MU berjaya diselamatk­an penjaga gol KL, Mohd Solehin Mamat untuk kemenangan 3-1 selepas aksi 120 minit berakhir dengan keputusan 1-1.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia