Harian Metro

Jatuh kereta api balik kenduri kahwin

-

Beaufort: Remaja perempuan yang maut selepas terjatuh dari kereta api yang bergerak di Batu 62, dekat sini, kelmarin, dipercayai dalam perjalanan pulang selepas menghadiri majlis perkahwina­n ahli keluarga di Beaufort.

Dalam kejadian jam 2 petang, mangsa, Intan Suraya Ambran, 15, parah di anggota badan dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superinten­dan Azmir Abd Razak berkata, siasatan mendapati mangsa bersama sepupunya berusia 19 tahun menaiki kereta api dari Beaufort untuk pulang ke Tenom.

Beliau berkata, mereka menaiki kereta api itu jam 1.30 tengah hari dari Stesen Keretapi Beaufort.

“Ketika menaiki gerabak pertama (bahagian kepala), gerabak penumpang itu didapati penuh.

“Mangsa dan sepupunya mengambil keputusan untuk berdiri di tepi pintu gerabak dan selepas 10 minit perjalanan, mereka duduk kerana kereta api bergoyang,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Azmir berkata, mangsa dilihat duduk di sebelah kiri pintu dengan lututnya sedikit keluar daripada gerabak.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, sepupu remaja itu terdengar jeritan mangsa. Dia menoleh dan melihat mangsa tersangkut pada kayu dan jatuh ke tanah manakala kaki remaja itu terkena landasan kereta api.

“Penumpang dalam kereta api turut menjerit sebelum pemandu memberhent­ikan kereta api. Mangsa dikatakan cuba bangun, namun tidak berdaya,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang parah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Beaufort untuk tindakan lanjut,” katanya.

“Mangsa terjatuh dan terseret 50 meter manakala kaki kirinya bergesel pada landasan kereta api menyebabka­nnya parah serta meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia