Harian Metro

5 cedera kemalangan dua treler, van

-

Ipoh: Lima cedera termasuk seorang parah dalam kemalangan membabitka­n dua treler dan sebuah van di Kilometer 226.1 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan dekat sini, tengah malam kelmarin.

Kemalangan yang dipercayai berlaku jam 12.15 tengah malam itu turut mengakibat­kan kesesakan lebih lima kilometer selama lebih tiga jam di laluan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, sebelum kejadian ketiga-tiga kenderaan dalam perjalanan dari arah utara menghala ke selatan dan berada di lorong kiri lebuh raya.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, treler membawa muatan barangan sejuk beku secara tiba-tiba melanggar bahagian belakang van yang membawa barangan jualan pasar malam di hadapannya sebelum melanggar pula bahagian belakang treler yang membawa bahan makanan yang juga berada di lorong kiri.

“Selepas berlaku pelanggara­n, van dan treler membawa bahan makanan berpusing dan masuk ke dalam longkang di kiri jalan manakala pemandu treler yang membawa muatan sejuk beku gagal mengawal kenderaann­ya lalu terbalik di tengah jalan menghalang kedua-dua lorong di tempat kejadian,” katanya.

Mohd Ali berkata, akibat kemalangan itu, pemandu treler yang membawa muatan sejuk beku patah kaki kiri manakala pemandu treler bahan makanan dan kelindanny­a serta pemandu van dan penumpangn­ya seorang wanita, cedera ringan.

Beliau berkata, semua mangsa dibawa keluar dari kenderaan masing-masing oleh orang ramai serta pasukan bomba dan penyelamat sebelum menghantar mereka menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Katanya, siasatan lanjut kes itu dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Nor Azam Abd Rahman berkata, pihaknya memberikan rawatan awal kepada mangsa yang cedera sebelum dihantar ke HRPB untuk rawatan lanjut.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia