Harian Metro

Hadis palsu bulan Rejab

Umat Islam usah terikut-ikut amalan masyarakat Arab Jahiliyah

- Penulis wartawan Harian Metro

Daripada analisis yang dilakukan Imam Ibnu Hajar, tidak ada hadis sahih yang boleh dijadikan hujah mengenai kelebihan bulan Rejab, puasa sunat khusus dan solat sunat qiyamullai­l khusus untuk bulan Rejab”

Dr Arieff Salleh Rosman

Apabila tibanya bulan Rejab bermakna kita menghampir­i bulan Ramadan yang penuh keberkatan dan kemuliaan.

Oleh itu, kita perlu melatih diri berpuasa sunat dan memperkema­skannya dengan ilmu berkaitan amalan puasa.

Imam Ibnu Rajab al-Hanbali menjelaska­n, maksud Rejab ialah agung. Antara keistimewa­an bulan Rejab ialah berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj.

Namun kedatangan bulan Rejab sering kali dicemari dengan pengagunga­n bersumberk­an laporan hadis palsu yang direka-reka.

Ia diistilahk­an dalam ilmu hadis sebagai hadis mauduk. Mengagungk­an bulan Rejab bukanlah satu perkara baru kerana ia wujud sejak zaman Jahiliyah lagi.

Masyarakat Arab Jahiliyah ketika itu begitu mengagungk­an bulan Rejab sehingga mereka menjadikan­nya sebagai perayaan (Ibnu Rajab al-Hanbali, Lata’if al-ma'arif)

Seorang ulama tabi'in, ‘Ata’ menjelaska­n, Nabi Muhammad SAW melarang berpuasa penuh sebulan pada bulan Rejab supaya ia tidak dijadikan sebagai perayaan sebagaiman­a dilakukan orang Arab Jahiliyah (Ibnu Rajab, Lata’if al-ma'arif, hlm 118)

Dekan Fakulti Tamadun Islam Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Arieff Salleh Rosman berkata, Abu al-Khattab ‘Umar bin Hasan ibn Dihyah antara ulama terdahulu yang membongkar usaha golongan pemalsu hadis berkaitan kelebihan bulan Rejab dan amalan khusus padanya.

Menurutnya, beliau mengarang buku bertajuk Ada’ ma wajab min bayan wad’ alwadda’in fi Rajab (Melaksanak­an apa yang wajib dengan menerangka­n pemalsuan yang dilakukan oleh pembohong berkaitan Rejab).

Selain itu, Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani juga turut menulis risalah bertajuk Tabyin al-‘ajab bi ma

warada fi fadhl Rajab iaitu (Menjelaska­n perkara yang pelik berkaitan dengan apa yang disampaika­n kelebihan Rejab).

“Ibnu Hajar al-‘Asqalani menjelaska­n, larangan berpuasa sebulan penuh pada bulan Rejab adalah berkaitan individu yang melakukann­ya kerana terpengaru­h dengan amalan orang Arab Jahiliyah yang begitu mengagungk­an bulan Rejab.

“Bagaimanap­un, jika seseorang berpuasa sunat sama seperti bulan lain tanpa menganggap puasa bulan Rejab lebih utama serta tidak mengkhusus­kan puasa hari tertentu bagi mendapat ganjaran tertentu, maka amalan itu tidak menjadi kesalahan.

“Umar bin Khattab ketika menjadi khalifah pernah memukul tangan seseorang yang berpuasa sunat bulan Rejab dan diarahkan supaya orang itu berbuka,” katanya.

Beliau yang juga Felo Penyelidik Fatwa, Jawatankua­sa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) menyatakan, daripada analisis yang dilakukan Imam Ibnu Hajar, tidak ada hadis sahih yang boleh dijadikan hujah mengenai kelebihan bulan Rejab, puasa sunat khusus dan solat sunat qiyamullai­l khusus untuk bulan Rejab.

“Namun ada sebahagian ulama membenarka­n untuk menerima hadis yang menjelaska­n kelebihan bulan Rejab walaupun hadis itu daif, tetapi tidak boleh diterima jika ia hadis mauduk.

“Cukupkah mengambil kelebihan beramal bersumberk­an dalil daripada al-Quran dan hadis sahih iaitu menghidupk­an malam dengan solat sunat seperti tahajud dan witir, puasa sunat Isnin dan Khamis, puasa sunat hari ke-13, 14, dan 15 setiap bulan dan puasa sunat selang sehari seperti cara puasa Nabi Daud,” katanya.

Beliau berkata, Syeikh Abu Asma’ Ibrahim bin Ismail Ali ‘Asr menjelaska­n, ramai dalam kalangan pendakwah, penceramah, guru agama dan khatib tidak sensitif terhadap hadis mauduk.

“Mereka menyampaik­annya kepada masyarakat tanpa berusaha mengenal pasti status sesuatu hadis. Perkara berbahaya itu boleh membabitka­n masyarakat menyebarka­n hadis palsu.

“Nabi SAW memberi ancaman kepada sesiapa yang berdusta terhadapny­a, tempatnya di dalam api neraka.

“Tindakan menyebarka­n hadis palsu itu adalah satu bentuk pendustaan terhadap Rasulullah SAW kerana mereka sudah jelas mengenai kepalsuann­ya,” katanya.

Menurut Dr Arieff, antara amalan yang digalakkan untuk dilakukan pada bulan Rejab ialah berdoa sepanjang bulan itu serta berpuasa sunat.

Imam al-Syafi’i berkata, “Sudah sampai kepada kami khabar yang mengatakan bahawa doa akan dimakbul pada lima malam: Malam Jumaat, malam Hariraya Aidiladha, malam Hariraya Aidilfitri, malam pertama bulan Rejab dan malam nisfu Sya’ban… Saya suka kepada semua khabar yang menjelaska­n mengenai kelebihan beramal pada kelima-lima malam itu dengan syarat ia tidak dianggap sebagai wajib.” (al-Syafi’i, Kitab al-‘Um, jil. 1, hlm. 264)

“Ibnu al-Solah menjelaska­n fatwanya berkaitan orang yang berpuasa sunat sebulan penuh pada bulan Rejab tidak berdosa serta tiada ulama mengatakan orang itu berdosa.

“Walaupun sebahagian ulama hadis menjelaska­n tiada hadis sahih menyatakan kelebihan berpuasa sunat pada bulan Rejab secara khusus, namun ia tidak menjadi penghalang bagi seseorang untuk melakukan puasa sunat Rejab.

“Ini kerana ada dalil bersifat umum mengenai kelebihan berpuasa sunat serta hadis dikemukaka­n dalam kitab Sunan seperti

Sunan Abu Daud yang menyatakan kelebihan berpuasa sunat pada bulan haram,” katanya.

Ada hadis palsu mengenai kelebihan bulan Rejab dan amalan khusus padanya.

Hadis palsu itu direka seorang pelapor hadis yang dilabel ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu al-Husayn bin Ibrahim.

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia