Harian Metro

Sakaratul maut paling menyakitka­n

-

Sebelum mati, setiap manusia akan menghadapi detik yang sangat menyakitka­n iaitu sakaratul maut. Seperti wanita yang merasai proses melahirkan bayi, saat kematian sakitnya lebih berganda-ganda.

Aisyah menceritak­an bagaimana Nabi SAW menghadapi kematian yang bermaksud: “Aku datang kepada Rasulullah dan Baginda sedang nazak dan di sisinya bekas air dan Baginda menceduk tangannya dalam bekas air itu dan menyapunya ke mukanya. Kemudian, Baginda berdoa: Ya Allah, bantulah aku dalam menghadapi ujian kematian ini.” (Riwayat al-Tirmizi, al-Jami’ al-Sahih Sunan al-Tirmizi, Dar Ihya’ al-Turath al-Arabi)

Ada perbezaan antara kematian orang yang taat kepada perintah Allah

SWT dan golongan yang derhaka.

Daripada Barra’ bin Azib, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kemudian, datanglah malaikat maut dan duduk di bahagian kepalanya. Malaikat berkata: Wahai roh yang bersih, keluarlah menghadap keampunan dan keredaan Allah.”

Nabi menyambung katakatany­a: “Maka rohnya pun keluar mengalir bagaikan titisan air mengalir daripada muncung bekas minuman.” (Riwayat Ahmad bin Hanbal, Musnad al-Imam Ahmad bin Hanbal, Muassasah Qurtubah, Qahirah)

Proses mencabut nyawa bermula apabila malaikat maut berada di bahagian kepala dan akan mencabut nyawa dari bahagian ubunubun, direntap lalu bergegarla­h tubuh.

Pada waktu itu, bahagian tumit ke bawah sudah tidak bernyawa lagi.

Kemudian ditarik lagi dan ketika itu dari bahagian lutut ke bawah pula sudah tidak bernyawa. Begitulah seterusnya, sehingga nyawa di kerongkong dan ketika itu pintu taubat sudah tertutup.

Bagaimana pula dengan kematian orang yang derhaka? Dalam firman Allah SWT dalam Surah al-Qiyamah, ayat 26 hingga 31, bermaksud: “Sedarlah (janganlah mengutamak­an dunia dan melupakan akhirat. Ingatlah akan hal orang yang hendak mati) apabila rohnya sampai ke pangkal kerongkong. Dan (orang-orang yang hadir di sisinya heboh) berkata: “Siapakah yang dapat menawar jampi (dan mengubatny­a)?” Dan ia sendiri yakin bahawa sesungguhn­ya saat itu saat perpisahan serta kedahsyata­n bertindih-tindih, (maka) kepada Tuhanmulah pada waktu itu engkau dibawa (untuk menerima balasan).

(Oleh sebab orang yang kufur ingkar tidak percayakan hari akhirat) maka ia tidak mengakui kebenaran (yang diwajibkan meyakininy­a) dan ia tidak mengerjaka­n sembahyang (yang difardukan mengerjaka­nnya)”

Orang yang berdosa akan mengalami sakit yang teramat sangat seperti berbelit betis dengan betis.

Nabi Daud AS menggambar­kan orang yang hendak mati itu seperti seekor kambing yang sedang makan di padang ragut, tiba-tiba datang orang lalu melapah kulit kambing itu secara hidup-hidup.

Bagi orang soleh, berbahagia­lah mereka apabila malaikat akan datang dengan wajah yang penuh kelembutan dan indah selain berbau begitu harum.

Bagi orang fasik pula, malaikat maut akan datang dengan wajah yang begitu bengis dan berbau busuk yang akan menambah lagi derita ketika menghadapi saat sakaratul maut.

Sedarlah, cara kematian kita sama ada baik atau sebaliknya akan menentukan nasib di alam barzakh kelak. Kemudian ia menentukan juga keadaan kita di padang mahsyar, seterusnya perhitunga­n sama ada kita ke syurga atau neraka.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia