Harian Metro

‘SABARLAH POGBA’

- Reuters

 Deschamps mahu bintang Perancis kekal positif walaupun kurang beraksi bersama United

Paris

Pemain tengah Manchester United dan Perancis, Paul Pogba mungkin tidak gembira dengan situasi yang dihadapiny­a di kelab Liga Perdana Inggeris itu, kata jurulatih Perancis Didier Deschamps

Pogba, 25, yang bersiap sedia untuk aksi persahabat­an menentang Colombia awal pagi Sabtu dan tuan rumah Piala Dunia, Russia Selasa depan dilihat mengalami kejatuhan prestasi di bawah kendalian Jose Mourinho musim ini.

Dia tidak diturunkan sebagai skuad utama dalam tiga perlawanan terakhir United, terlepas aksi menentang Liverpool akibat kecederaan, muncul sebagai pemain gantian ketika tewas 1-2 kepada Sevilla dan diletakkan di bangku simpanan ketika aksi suku akhir Piala FA menewaskan Brighton & Hove Albion, Sabtu lalu.

Ditanya sama ada beliau akan cuba memulihkan keyakinan Pogba ketika bersama skuad, Deschamps menjelaska­n situasinya dalam sidang media.

“Ia bukan saja membabitka­n Paul. Perkara ini berlaku apabila seseorang pemain mengalami situasi tertentu di sesebuah kelab. Ia mungkin Paul atau orang lain dan seperti biasa apa yang saya lakukan adalah bercakap dengan mereka untuk memahami keadaan kerana saya tiada maklumat itu.

“(Mengenai Pogba)... Saya tidak tahu mengapa dan bagaimana ketika ini tetapi jelas sekali ini situasi yang tidak akan dihargainy­a berbanding dengan apa yang dilakukan. Terdapat pelbagai punca yang boleh dikaitkan, mungkin dia tidak gembira dengan apa yang dilaluinya di kelab itu.”

Pogba memulakan kariernya di United dan kembali ke kelab itu dari Juventus pada harga 89 juta pound (RM489.1 juta) pada 2016.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia