Harian Metro

Tukang cuci 7A

 Pelajar cemerlang SPM galas tanggungja­wab cari nafkah sara keluarga

- Noorazura Abdul Rahman news@nstp.com.my

Ketika remaja lain bergembira menunggu tawaran menyambung pelajaran ke menara gading selepas memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), seorang gadis di sini, terpaksa menggalas tanggungja­wab sebagai ketua keluarga.

Siti Norfatihah Norshahrin, 18, dari Kampung Belakang Stadium, di sini perlu bekerja sebagai tukang cuci di sebuah sekolah berhampira­n rumahnya demi memastikan kelangsung­an hidup mereka sekeluarga.

Katanya, dia tidak mempunyai pilihan lain kerana bapanya, Norshahrin Halim, 45, tidak mampu bekerja akibat masalah saraf dan tulang selepas kemalangan lima tahun lalu.

“Saya memperoleh keputusan SPM 7A, 1B+, 1C dan 1D, jika layak saya merancang menyambung pelajaran ke Universiti Utara Malaysia (UUM), jadi saya perlu mencari duit sebagai persediaan ke universiti serta menyara keluarga.

“Bapa saya tidak mampu bekerja lagi, ibu saya pula, Sarah Bee Bee M S M Ibrahim, 57, hanya suri rumah dan perlu menjaga moyang saya yang terlantar akibat sakit tua,” kata anak kedua daripada empat beradik itu.

Siti Norfatihah berkata, kakak sulungnya kini berada di tingkatan enam atas turut bekerja di gerai makan ketika cuti sekolah untuk membantu keluarga.

Katanya, menjadi kebiasaan dia dan adik-beradik hanya menjamah nasi berkuahkan sup bawang dan garam, malah ibu bapanya pernah bergilir-gilir berpuasa bagi memastikan mereka adik-beradik dapat makan.

“Ibu dan ayah saya sudah biasa ikat perut apabila bekalan beras semakin kurang. Asalkan dapat makan untuk hidup sudah memadai, yang penting kami dapat ke sekolah setiap hari.

“Orang tua saya sangat mementingk­an ilmu, mereka akan pastikan kami adik-beradik ke sekolah setiap hari walaupun tiada wang saku,” katanya yang bercita-cita menjadi akauntan.

Sementara itu, Norshahrin yang pernah bekerja sebagai pengawal keselamata­n di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor selama 22 tahun hilang mata pencarian apabila dia hanya mampu berdiri tidak lebih daripada setengah jam akibat masalah saraf.

Katanya, dia pernah bekerja semula selepas kemalangan, namun dinasihatk­an berhenti kerana kerap mengambil cuti sakit.

“Pada Oktober 2016, saya bersara dan mengambil keputusan pulang ke sini selepas itu... kami hanya mengharapk­an bantuan orang ramai termasuk guru sekolah anak saya untuk kelangsung­an hidup.

“Kemudian pada Oktober tahun lalu, nenek saya, Rofeah Endut, 95, mendapat bantuan kewangan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) manakala saya RM200 sebulan. Wang itu hanya cukup untuk membeli barang keperluan termasuk lampin pakai buang nenek saya,” katanya.

 ??  ?? SITI Norfatihah (kanan) bersama keluarga serta moyangnya di rumah mereka di Kampung Belakang Stadium.
SITI Norfatihah (kanan) bersama keluarga serta moyangnya di rumah mereka di Kampung Belakang Stadium.
 ??  ?? SITI Norfatihah bersama adiknya menikmati nasi berkuahkan sup bawang.
SITI Norfatihah bersama adiknya menikmati nasi berkuahkan sup bawang.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia