Harian Metro

Peluang hidup 48 jam

- Mohamed Farid Noh dan Badrul Kamal Zakaria cnews@nstp.com.my

 14 kru diyakini hidup berdasarka­n ketukan dari dalam kapal

Bunyi balasan ketukan pada dinding kapal ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan memberikan sinar harapan bahawa semua 14 kru kapal korek yang hilang pagi semalam, masih hidup.

Timbalan Pengarah Maritim (Operasi) Maritim Malaysia Wilayah Selatan Kapten Maritim Sanifah Yusof berkata, maklum balas ketukan itu diperoleh pasukan SAR, jam 3.30 petang semalam.

Katanya, keadaan ruang dalaman kapal korek berkenaan yang besar dipercayai memberi ruang udara mencukupi buat semua mangsa bertahan.

“Kami percaya mangsa yang hilang masih hidup selepas terperangk­ap.

“Mangsa dijangka mampu bertahan antara 24 hingga 48 jam namun kami akan berikan usaha yang terbaik menyelamat­kan mangsa.

“Ini memberikan harapan baru dalam operasi SAR dengan kami menempatka­n lebih 20 anggota pasukan termasuk penyelam yang terdiri daripada Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin (PPM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia,” katanya pada sidang media di Pusat Operasi SAR di Pantai Leka, Parit Jawa di sini.

Semalam, Harian Metro melaporkan seorang kru ditemui lemas manakala 14 lagi masih hilang selepas sebuah kapal korek pasir terbalik di kedudukan kira-kira 8.5 batu nautika dari perairan Parit Jawa jam 7.50 pagi.

Tiga lagi kru berjaya diselamatk­an.

Pusat Operasi Pangkalan Maritim Malaysia Pangkalan Batu Pahat menerima panggilan kecemasan memaklumka­n kapal berkenaan terbalik dengan 18 kru dipercayai terperangk­ap di dalam kapal itu jam 8.50 pagi.

Sanifah berkata, pasukan penyelam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dari Lumut, Perak turut ke lokasi dengan KD Mahameru bagi membantu operasi SAR.

Katanya, kepakaran penyelam TLDM diperlukan berikutan kejadian berlaku di perairan terbuka yang memerlukan kepakaran tinggi.

“Setakat ini, tiga mangsa yang berjaya diselamatk­an serta seorang yang maut yang juga warga China dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar.

“Baki 14 mangsa membabitka­n seorang lelaki warga tempatan yang bertugas sebagai operator radio, seorang lelaki warga Indonesia selain 12 warga China termasuk seorang wanita berusia 20 hingga 64 tahun,” katanya.

Beliau berkata, operasi SAR menumpukan usaha menyelamat­kan mangsa termasuk melakukan pemerhatia­n di permukaan laut di lokasi sama ada mangsa berjaya menyelamat­kan diri daripada bangkai kapal itu.

Katanya, operasi itu juga mendapat kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Laut Malaysia sebagai langkah pencegahan sekiranya berlaku tumpahan minyak.

“Lebih 20 anggota pasukan SAR dan penyelam yang sedia ada membuat pemeriksaa­n serta bersiap sedia kerana lokasi kejadian berada di laluan kapal yang sibuk,” katanya.

 ??  ?? PASUKAN SAR tiba di tempat kejadian bagi mengesan kru yang masih hilang.
PASUKAN SAR tiba di tempat kejadian bagi mengesan kru yang masih hilang.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia