Harian Metro

‘Berat dugaan ini’

 Pilu hilang suami, dua anak lemas di pantai

- Nor Amalina Alias dan Mohd Shafuan Khairi cnews@nstp.com.my

“Saya perlu kuat dan tabah menerima dugaan ini demi anak-anak,” kata Hamidah Ibrahim, 40, isteri kepada Wan Halem Mustapa, 44, yang lemas bersama dua anaknya di Pantai Sri Telong di Bachok, kelmarin.

Dalam kejadian jam 2.45 petang, Wan Halem dan anaknya, Wan Muhammad Muzzammil, 7, ditemui orang awam sejurus kejadian manakala seorang lagi anaknya, Wan Ukkasyah, 12, ditemui penyelamat jam 6.30 pagi semalam.

Jenazah Wan Halem dan anaknya, Wan Muzzammil dikebumika­n di Tanah Perkuburan Islam Bunut Payong di sini, jam 2 pagi semalam manakala arwah Wan Ukkasyah disemadika­n di Kampung Paloh, Palekbang, Tumpat jam 2.30 petang semalam.

Hamidah berkata, untuk menerima kehilangan tiga orang disayangi sekelip mata, satu dugaan berat yang perlu dihadapi.

“Hati wanita mana yang tak sedih kehilangan suami dan dua anak lelaki sekali gus.

“Tetapi saya reda dengan ketentuan-Nya dan menerima musibah yang menimpa keluarga ini dengan hati terbuka,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini, semalam.

Mengimbas kejadian itu, Hamidah berkata, dia bersama suami dan enam anak ke pantai itu untuk berkelah sempena cuti persekolah­an.

“Suami dan anak-anak mandi di pantai manakala saya berada di tepi pantai. Suami dan dua anak, Wan Muzzamil dan Wan Ukkasyah cuba selamatkan seorang daripada anak (Wan Muhammad Umair, 11) yang hampir lemas.

“Tiba-tiba mereka bertiga semakin jauh dihanyutka­n air. Saya terkejut melihat mereka bertiga tenggelam timbul beberapa kali dan saya tidak mampu berbuat apa-apa kerana kejadian terlalu pantas,” katanya.

Menurutnya, arwah suaminya tidak banyak berubah namun beberapa hari sebelum kejadian dia demam dan kelihatan letih.

“Arwah baik hati dan peramah. Biarpun kami baru saja tinggal di Bunut Payong, ramai yang mengenali arwah kerana dia mengajar al-Quran di masjid berhampira­n,” katanya.

Hati wanita mana yang tak sedih kehilangan suami dan dua anak lelaki sekali gus”

Hamidah Ibrahim

 ??  ?? KELUARGA mangsa membantu adik Wan Muhammad Mus'ab menyiram air mawar di pusara abangnya, Wan Ukkasyah di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paloh, Pasir Pekan.
KELUARGA mangsa membantu adik Wan Muhammad Mus'ab menyiram air mawar di pusara abangnya, Wan Ukkasyah di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paloh, Pasir Pekan.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia