Harian Metro

Islam bertapak kukuh di Xian

- Bersama Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin Penulis Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan profesor di Jabatan Kimia, Fakulti Sains Universiti Putra Malaysia

Xian atau nama lamanya Chang An adalah ibu negeri wilayah Shaanxi, China. Ia antara kota tua paling terkenal di China.

Terdapat 65 makam maharaja di Xian. Ia menjadi ibu kota untuk beberapa dinasti sebelum berpindah ke Beijing.

Xian adalah tempat tentera berkuda Terracotta Maharaja Shi Huang (259210 sebelum Masihi) iaitu pengasas Dinasti Qin dan maharaja pertama China.

Xian menjadi kota penting dan di situlah bermulanya ‘Laluan Sutera’ iaitu laluan perdaganga­n lama yang berlangsun­g sejak berabad lamanya.

Menyedari kepentinga­n dan potensi mengembang­kan Islam ke wilayah China, Khalifah Uthman bin Affan yang memerintah dari tahun 644–656 Masihi menghantar utusan ke China.

Maharaja Gao Zung daripada Dinasti Tang ketika itu menganuger­ahkan tanah untuk pembinaan masjid.

Mengikut rekod sejarah, masjid pertama dibina di Xian adalah Masjid Besar Xian. Ia dibina pada 742 Masihi ketika pemerintah­an Maharaja Xuan Zong.

Masjid itu mengalami proses pembesaran dan pembaikan ketika pemerintah­an Dinasti Song, Yuan, Ming dan Qing.

Selepas pembentuka­n negara moden China, pihak berkuasa memberikan peruntukan khas untuk mengubah suai masjid pada setiap tahun.

Masjid itu meliputi kawasan seluas 13,000 meter persegi dengan keluasan bangunan 6,000 meter persegi.

Berbeza dengan masjid di tanah Arab, Masjid Besar Xian mempamerka­n seni bina dan artistik Cina. Ia dibina dalam bentuk segi empat panjang dan dibahagika­n kepada empat halaman.

Halaman pertama, terdapat satu pintu gerbang kayu masih tersergam indah dibina pada kurun ke-17. Bahagian kiri dan kanan terdapat beberapa rumah yang mempunyai perabot lama pada era Dinasti Ming dan Qing.

Halaman kedua pula terdapat pintu gerbang dengan tulisan Cina bermaksud ‘Halaman Syurga’. Terdapat juga sebuah menara setinggi tiga tingkat berbentuk pagoda oktagon berfungsi sebagai tempat melaungkan azan.

Dewan solat utama pula terletak di halaman keempat yang boleh memuatkan lebih 1,000 jemaah. Pada waktu perayaan seperti Aidilfitri dan Aidiladha, ia boleh menampung lebih 10,000 jemaah.

Kaligrafi Cina dan Arab juga terdapat di seluruh kompleks masjid berkenaan. Pada 1956, masjid itu diisytihar­kan sebagai Tapak Bersejarah dan Kebudayaan yang dilindungi di peringkat Wilayah Shaanxi.

Ia dinaik taraf sebagai Tapak Sejarah dan Budaya Utama yang dilindungi di peringkat Kebangsaan pada 1988. Masjid itu masih digunakan sehingga hari ini terutamaya masyarakat Cina Muslim keturunan Hui.

Baru-baru ini, Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) mengadakan lawatan ke masjid berkenaan. Kunjungan itu disambut penuh mesra dan ukhwah oleh Imam Masjid Besar Xian, Yahya Ma Yi Ping.

Selain Masjid Besar Xian, ada lima lagi masjid lain iaitu Masjid Daxuexi Lane, Masjid Xian Xiaopiyuan (Dinasti Tang), Masjid Xian Dapiyuan (Dinasti Qing), Masjid Xian North Guangji Street (Dinasti Ming)dan Masjid Xian Dongxinjie (1939).

 ??  ?? ROMBONGAN Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) bergambar kenangan ketika melawat Masjid Besar Xian.
ROMBONGAN Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) bergambar kenangan ketika melawat Masjid Besar Xian.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia