Harian Metro

Datuk baru balik negara jiran ditahan SPRM

-

Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang lagi suspek bergelar Datuk bagi membantu siasatan isu penjualan tanah milik kerajaan Selangor di Mukim Ijok, Selangor.

Suspek yang ditahan itu individu dikehendak­i SPRM dan berada di negara jiran sebelum ini.

Suspek berusia 53 tahun ditahan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya selepas dia hadir untuk memberi keterangan, petang semalam.

Susulan itu SPRM membekukan beberapa akaun membabitka­n jumlah RM47 juta sekali gus menjadikan sejumlah RM86 juta dibekukan setakat ini.

Kelmarin enam individu, termasuk dua individu bergelar Datuk berusia antara 34 tahun dan 84 tahun ditahan di Petaling Jaya, Selangor dan Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, di antara jam 12.45 tengah hari dan 4 petang.

Pasukan penyiasat juga membeku sembilan akaun peribadi dan syarikat bernilai RM39 juta milik semua suspek yang ditahan.

Ketika ini siasatan SPRM merangkumi penerimaan bayaran menerusi transaksi wang RM200 juta kepada lima syarikat iaitu masing-masing menerima lebih kurang

RM68 juta, RM62 juta, RM42 juta, RM16.5 juta dan RM8.5 juta.

Penjualan tanah seluas 880 hektar kepada syarikat pemaju swasta pada harga RM1.18 bilion itu menimbulka­n kontrovers­i dan dipersoalk­an pelbagai pihak termasuk peneroka.

Sementara itu Pengarah Kanan Jabatan Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd Ghani mengesahka­n penahanan terbaru itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia