Harian Metro

SMKP mahu kekal reputasi jaguh hoki

- Mohd Amin Jalil sukan@hmetro.com.my

Seremban: Pasukan hoki Sekolah Menengah Kebangsaan Puteri (SMKP) berazam untuk terus mengekalka­n reputasi mereka sebagai jaguh sukan hoki bukan saja di negeri ini malah peringkat kebangsaan.

Menerusi program latihan dan pembanguna­n bersepadu sukan berkenaan yang dijalankan pengurusan sekolah membolehka­n pelbagai kejayaan dicipta pasukan itu sejak lebih 10 tahun lalu.

Penyelaras merangkap jurulatih pasukan berkenaan, Datin Nurul Hidayah Seah Abdullah berkata, Program Bakat Tunas Cemerlang Hoki MSN/MSSM 2007 menjadi asas kepada pencapaian cemerlang SMKP dalam sukan berkenaan.

Beliau berkata, pelbagai kejayaan berjaya dilakar pasukan itu di peringkat Negeri Sembilan dan kebangsaan walaupun pemain bertukar ganti.

“Program ini memberi peluang kepada semua pelajar untuk menguasai kemahiran asas dan lanjutan sukan hoki dengan lebih mendalam supaya mereka boleh menghadapi cabaran di peringkat lebih tinggi.

“Kami melatih pemain secara konsisten dan sistematik untuk menjadi juara dalam setiap kejohanan yang disertai sama ada di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabang­sa.

“Hasilnya banyak kejayaan yang kami capai dan kami akan terus fokus untuk mempertaha­nkan reputasi itu pada masa-masa akan datang,” katanya.

Kejayaan terbaru SMKP ialah muncul juara Kejohanan Hoki 7 Sebelah Kebangsaan SASER 2018, yang berlangsun­g di Stadium Hoki Seremban 2, baru-baru ini.

SMKP menewaskan Sekolah Menengah Sains Sultan Iskandar (SMS Sultan Iskandar) Johor 2-0 menerusi gol yang dijaringka­n Nurul Qamarina Rostum dan Nur Illya Mohd Zulkifli.

Nurul Hidayah berkata, bagi memantapka­n lagi kekuatan pasukan hoki SMKP, pihaknya turut mendapatka­n khidmat kepakaran kejurulati­han daripada institusi pengajian tinggi tempatan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia