Harian Metro

Pope tekad rebut 11 terbaik

-

Burton-On-Trent, England: Penjaga gol Burnley, Nick Pope pernah bangun jam 4 pagi untuk memandu van susu dan kini, dia berharap impiannya untuk menjadi penjaga gol nombor satu England pada Piala Dunia tidak terjejas.

Pope, 25, bermula dari liga bawahan dalam piramid bola sepak England, bermain di divisyen lima bersama Aldershot empat musim lalu.

Apabila dia dilepaskan kelab masa kecilnya Ipswich pada usia 16 tahun, Pope berasakan impiannya untuk menjadi pemain profesiona­l sudah berakhir.

Namun, sesudah bermula kembali di Bury Town dalam liga divisyen tujuh Liga Isthmian, Pope berjuang menuju ke puncak menerusi Charlton dan beberapa kali tempoh pinjaman di kelab bawahan sebelum menyertai Burnley pada 2016.

“Beraksi di liga itu, sesetengah­nya terlalu teruk... saya fikir pasukan kebangsaan terlalu jauh untuk digapai,” katanya di kem latihan England, St George’s Park semalam, ketika mempersiap­kan diri bagi aksi persahabat­an menjelang Piala Dunia menentang Belanda awal pagi Sabtu ini dan Itali minggu depan.

Pope bukan pilihan utama bersama Burnley hinggalah Tom Heaton terseliuh bahu September lalu memberikan­nya peluang bagi penampilan sulung di liga utama.

Namun dalam hanya enam bulan, Pope sudah berjaya meraih 11 perlawanan tanpa dibolosi untuk membantu Burnley melonjak ke tangga ketujuh Liga Perdana Inggeris dan rekod kelab 43 mata dengan berbaki lapan perlawanan.

“Ia satu peluang besar, ia satu saat terbaik dalam kehidupan saya untuk berada di sini,” jelas Pope.

“Saya mahu membuktika­n diri saya dalam kalangan pemain bahawa saya berada di sini bersama mereka sekarang dan sudah tentu terhadap pengurus juga.”

Sebelum ini, England boleh menyandark­an harapan kepada penjaga gol hebat seperti Peter Shilton, Gordon Banks dan David Seaman pada kejohanan utama antarabang­sa.

Bagaimanap­un, hanya tiga bulan sebelum pusingan akhir di Russia, pengurus Gareth Southgate mengakui “perebutan jersi nombor satu terbuka luas.”

Tempat penjaga gol nombor satu Joe Hart terancam kerana dia hanya tampil sekali dalam 16 perlawanan liga terakhir bersama West Ham.

Penjaga gol Everton, Jordan Pickford dan Stoke, Jack Butland turut mempunyai pengalaman luas Liga Perdana berbanding Pope.

Namun, dia tidak kisah dengan semua itu sekalipun baru mendapat panggilan yang dianggapny­a mustahil dan mahu bermula apabila England membuka tirai kempen Piala Dunia menentang Tunisia pada 18 Jun

depan. - AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia